KOLKATA: Dua nelayan dilaporkan maut selepas taufan membawa angin kencang serta hujan lebat melanda pantai timur India.
Kejadian itu memaksa lebih 200,000 penduduk di tiga negeri berpindah.
Meskipun taufan dianggap sebagai ancaman biasa di utara Lautan Hindi namun ramai saintis menegaskan bencana itu semakin kerap berlaku dan buruk susulan perubahan iklim yang meningkatkan suhu laut.
Menurut Jabatan Meteorologi, Taufan Gulab melanda antara negeri pesisir Odisha dan Andhra Pradesh selepas pukul 6 petang (waktu tempatan) dengan membawa angin kencang hingga 98 kilometer sejam.
Lapor media tempatan, operasi menyelamat dilancarkan selepas sebuah bot nelayan yang dalam perjalanan dari Odisha ke Andhra Pradesh, terbalik ketika ribut tersebut.
Menurut Indian Express, tiga nelayan menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai manakala dua lagi maut dan seorang lagi dilaporkan masih hilang.
Beberapa laporan awal menyatakan pokok turut tumbang ketika taufan itu membadai sebuah kawasan pesisir di Andhra Pradesh.
Pihak berkuasa di Odisha, Andhra Pradesh dan Bengal Barat telah mengarahkan puluhan ribu penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara setelah diramalkan ribut dari Teluk Bengal bakal membawa angin kencang dan hujan lebat. – AFP










