NEW YORK: Seorang ahli Parlimen Amerika Syarikat (AS) mendakwa kumpulan Taliban menghalang warga Afghanistan dan AS meninggalkan negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Mazar-i-Sharif.
Lapor BBC, ahli politik dari parti Republikan, Michael McCaul berkata, beberapa pesawat cuba berlepas dari lapangan terbang itu sejak beberapa hari lalu namun gagal berbuat demikian.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga mengesahkan sekumpulan individu menunggu untuk menaiki salah sebuah pesawat tersebut.
Kumpulan Taliban menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai propaganda.
“Ini tidak benar. Kumpulan kami tidak mempunyai sebarang kaitan dengan warga Afghanistan berkenaan.
“Ini adalah propaganda dan kami menafikannya,” kata Jurucakap Zabihullah Mujahid.
Menurut Michael yang juga pemimpin Republikan bagi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, sebanyak enam pesawat yang membawa rakyat AS dan jurubahasa Afghanistan menunggu di lapangan terbang.
“Jabatan Negara AS sudah mengesahkan pesawat tersebut dan kumpulan Taliban tidak membenarkannya untuk berlepas di lapangan terbang itu.
“Kami tahu mengapa mereka berbuat demikian, ini kerana kumpulan Taliban mahu sesuatu sebagai pertukaran,” katanya ahli politik dari Texas.
Jabatan Negara AS dalam satu e-mel memaklumkan beberapa pesawat terkandas di lapangan terbang Mazar-i-Sharif yang masih tidak mendapat kebenaran daripada Taliban untuk berlepas. – AGENSI










