WASHINGTON: Negara-negara dengan kekuatan ketenteraan dunia dilihat berlumba-lumba menguji persenjataan dan sistem pertahanan masing-masing.
Terbaharu, Amerika Syarikat (AS) menguji senjata peluru berpandu hipersonik yang lima kali ganda lebih cepat daripada kelajuan bunyi senjata itu.
Menurut Pentagon, ujian yang dijalankan minggu lalu merupakan kejayaan kali pertama bagi Hypersonic Air-breathing Weapon Concept (HAWC) sejak 2013.
Badan Projek Penyelidikan Lanjutan (DARPA) menjelaskan, peluru berpandu yang dibina oleh Raytheon dilepaskan dari pesawat hanya ‘beberapa saat’ sebelum enjin scramjet dari Northrop Grumman dilancarkan.
AS, Rusia dan China mempunyai program peluru berpandu hipersonik yang paling canggih di dunia.
Namun menurut pakar, Rusia dan China dikatakan lebih jauh terkehadapan dalam persenjataan itu.
KOREA UTARA UJI PELURU BERPANDU
Terdahulu, Korea Utara melancarkan senjata nuklear peluru berpandu jarak dekat dari wilayah Jagang ke perairan pantai timur, semalam.
Duta Besar Pyongyang ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kim Song menegaskan, negara itu mempunyai hak yang tidak dapat disangkal untuk menguji senjatanya.
Song ketika berucap semasa Perhimpunan Agung PBB di New York menjelaskan, ‘tiada sesiapa yang boleh menafikan hak Korea Utara untuk mempertahankan diri’.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun memberitahu AFP, pelancaran itu seperti ‘peluru berpandu balistik’.
CHINA PAMER KEKUATAN DRON
Sementara itu, China mempamerkan kekuatan senjata udara yang dimilikinya dengan dron pengawasan dan jet yang dapat menyekat peralatan elektronik bagi mengawasi wilayah pertikaian dari Taiwan ke Laut China Selatan.
Pameran di bandar pesisir selatan Zhuhai itu merupakan pertunjukan udara terbesar di negara itu, ketika Beijing bertungkus-lumus melakukan persiapan senjata ketenteraan sebelum 2035 bagi menghadapi peperangan moden.
Prototaip dron pengawasan baharu, VH-6 yang dapat melakukan serangan adalah antara teknologi domestik yang dilancarkan di Zhuhai.
Sayap dron itu berkeluasan 20.5 meter dan panjang 15.8 meter yang dapat membawa peluru berpandu bagi operasi pengawasan dan serangan.
Senjata lain yang dipamerkan termasuk dron WZ-7 yang dapat digunakan semasa pengintipan sempadan dan rondaan maritim serta jet pejuang J-16D yang mampu menghancurkan peralatan elektronik.
Walaupun China masih ketinggalan dari AS berdasarkan aspek teknologi dan pelaburan dalam senjata perangnya, namun pakar memaklumkan negara itu berusaha merapatkan jurang sedia ada.
Laporan perisikan AS tahun ini mendedahkan pengaruh China yang semakin meningkat sekali gus menjadi ancaman terbesar kepada AS.










