JAKARTA: ‘Tewasnya’ pemimpin kumpulan pengganas, Ali Kalora, dalam operasi ketenteraan Sabtu lalu, sememangnya tidak akan menghentikan pergerakan kumpulan yang ‘bertunjangkan’ Daesh di Sulawesi Tengah.
BBC Indonesia melaporkan, perkara itu ditegaskan pemerhati terorisme dari Universiti Tadulako, Sulawesi Tengah, Muhammad Khairil yang percaya saki-baki pengikut Ali Kalora akan merekrut orang baharu.
Jelasnya, ini termasuk memilih pemimpin baharu dan atas sebab itu, pasukan keselamatan perlu segera menangkap saki-baki kumpulan berkenaan dan menutup pintu masuk anggota pengganas dari tempat lain ke Poso sehingga proses rekrut terhalang.
Ali Kalora antara yang terbunuh dalam operasi tersebut dan beliau mengetuai sebuah kumpulan pengganas, menggantikan Santoso yang ditembak mati pada 2016.
Menurut Muhammad Khairil, kematian Ali Kalora tidak semestinya melemahkan atau menamatkan kumpulan militan itu.
Beliau percaya kumpulan itu akan terus menjalankan proses merekrut dan doktrin dalam masyarakat.
“Ini terbukti, berdasarkan catatan sejarah, oleh tindakan berterusan kumpulan bersenjata itu ketika Santoso terbunuh dan digantikan dengan Ali Kalora.
“Memang kita harap ini akan selesai. Tetapi jika melihat sejarah, bagaimana kepemimpinan kumpulan itu berubah dari sebelumnya Santoso, turun ke Ali Kalora. Militan seperti ini tidak hanya bergantung kepada seseorang (bakal pemimpin), mereka akan meneruskan proses seterusnya,” katanya.
Pasukan keselamatan kini memburu empat lagi anggota kumpulan berkenaan iaitu Askar atau dikenali sebagai Jaid dan Pak Guru; Nae yang juga dipanggil Galuh atau Muklas; Suhardin (Hasan Pranata) dan Ahmad Gazali (Ahmad Panjang).
Dalam pada itu, pemerhati terorisme dari Universiti Indonesia, Muhammad Syauqillah pula berkata, ada dua usaha yang harus dilakukan pasukan keselamatan untuk melemahkan dan menamatkan ancaman kumpulan pengganas itu.
“Pertamanya, memburu saki-baki kumpulan berkenaan bagi mematahkan kitaran kepemimpinan bagi menghalang mereka merekrut orang baharu.
“Kedua pula, pegawai penguat kuasa perlu menutup pintu masuk ke Poso. Tetapi dua cara ini bergantung kepada kesediaan mereka dan peranan masyarakat dalam menangani kumpulan militan,” katanya.










