SYDNEY: Australia mendedahkan sudah mengarahkan semua tenteranya keluar dari Afghanistan sebelum serangan pengebom berani mati di pintu masuk Lapangan Terbang Kabul selepas mendapat ‘maklumat perisikan sangat jelas’.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata, pihaknya berjaya memastikan pelepasan pegawai Australia pada waktu malam menerusi pesawat beberapa jam sebelum serangan dahsyat itu berlaku.
Katanya, tentera Amerika Syarikat (AS) dan Britain memberikan bantuan kepada tentera Australia selama sembilan hari bagi memindahkan 4,100 orang termasuk 3,200 rakyat Australia dan Afghanistan yang mempunyai visa Australia.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton berkata, pihak berkuasa negara itu sudah menghantar mesej amaran kepada rakyat negara itu dan individu yang berada di lokasi serangan.
“Terdapat mesej perisikan sangat jelas ISKP berniat melakukan serangan dan mereka berjaya membuktikannya.
“Militan Daesh itu lebih ekstrem daripada Taliban dan mereka sebenarnya berperang dengan Taliban. Jadi keadaan ini sangat rumit,” jelasnya.-AFP










