KABUL: Kekecohan berlaku di luar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul semasa kerajaan pimpinan Ashraf Ghani berusaha membawa segelintir rakyatnya keluar dari negara itu.
Lapor BBC, kumpulan Taliban dilaporkan mengawal akses ke lapangan terbang dan melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan kesesakan orang ramai yang berkumpul.
Seramai 5,000 penduduk berjaya dipindahkan dalam tempoh 24 jam melalui lapangan terbang yang dikawal ketat oleh tentera Amerika Syarikat (AS).
Kejadian itu berlaku selepas tiga hari Taliban mengambil alih Afghanistan.
“Keadaan sangat tegang dan huru-hara di luar sana,” kata seorang pegawai tentera.
Anggota Taliban yang dikerahkan ke kawasan lapangan terbang itu tidak membenarkan penduduk yang tidak mempunyai dokumen perjalanan untuk memasuki kawasan itu.
Mereka bagaimanapun membenarkan penduduk yang mempunyai pasport AS.
Selepas Taliban menakluk Kabul, ribuan penduduk terdesak untuk meninggalkan Afghanistan termasuk rakyat negara itu yang membantu tentera AS sejak 20 tahun lalu.










