PYONGYANG: Korea Utara masih membangunkan program nuklear dan peluru berpandu semasa separuh tahun pertama 2021 yang jelas mencabuli sekatan antarabangsa serta kebimbangan mengenai situasi ekonomi negara.
Perkara itu didedahkan oleh Reuters menerusi maklumat sulit laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Laporan itu ditulis oleh panel pemantau sekatan bebas Majlis Keselamatan PBB Korea Utara yang menjelaskan Pyongyang masih terus mencari bahan dan teknologi bagi program itu di luar negara.
“Walaupun negara itu sedang bergelut dengan masalah ekonomi yang semakin teruk, Korea Utara masih terus mempertahankan dan membangunkan program peluru berpandu balistik,” kata laporan itu.
Korea Utara dikenakan sekatan oleh PBB sejak 2006 berhubung program nuklear tersebut.
Antara sekatan yang dikenakan adalah larangan eksport arang batu dan komoditi lain serta mengimport minyak.

CHINA TURUT BERSAING
Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken menzahirkan kebimbangan mengenai persenjataan nuklear China yang semakin berkembang semasa pertemuan dengan menteri luar negara-negara Asia dan negara rakan kongsi.
Menerusi Forum Serantau ASEAN (ARF) yang dianggotai oleh 24 negara, Blinken meminta China menghentikan tingkah laku ‘provokatif’ di Laut China Selatan dan menimbulkan kebimbangan serius mengenai pelanggaran hak asasi manusia di Tibet, Hong Kong dan Xinjiang.
“Blinken turut menyatakan keprihatinan mendalam berhubung pertumbuhan pesat senjata nuklear China yang menyimpang jauh daripada strategi nuklear,” katanya.
Pentagon dan Jabatan Negara baru-baru ini menyatakan kebimbangan mengenai perkembangan kekuatan nuklear China selepas laporan kumpulan pemikir berdasarkan imej satelit yang mendedahkan China membangunkan ratusan silo baharu untuk peluru berpandu nuklear.
Washington berulang kali meminta China menyertainya dan Rusia dalam perjanjian kawalan senjata baharu.
Bulan lalu, Jabatan Negara mendesak Beijing supaya terlibat dengan ‘langkah praktikal bagi mengurangkan risiko ketidakstabilan perlumbaan senjata’.
Beijing sebaliknya menjelaskan persenjataannya dipandang kerdil oleh AS dan Rusia serta bersedia melakukan dialog dua hala mengenai keselamatan strategik ‘atas dasar persamaan dan saling menghormati’.
Menerusi forum sama, Blinken turut menggesa semua negara ahli ARF memberi tekanan kepada junta tentera Myanmar supaya menghentikan segera kekejaman serta menyokong rakyat negara itu yang mahukan pentadbiran kerajaan demokratik.










