PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan prosiding sebutan kes di Mahkamah Syariah seluruh negara dilaksanakan secara dalam talian (online) kecuali prosiding perbicaraan dan keputusan kes.
Presidennya, Musa Awang berkata, langkah itu selaras dengan keperluan semasa susulan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kehakiman.
Bagaimanapun beliau berkata, prosiding perbicaraan, keputusan kes serta Majlis Sulh boleh diteruskan secara fizikal seperti biasa.
“PGSM mencadangkan dan menyeru Mahkamah Syariah seluruh negara untuk mengambil inisiatif menjalankan prosiding sebutan kes secara dalam talian atau ‘online’ yang melibatkan masyarakat awam dan peguam syarie,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pelaksanaan prosiding secara dalam talian adalah dibenarkan dari sudut perundangan syariah berdasarkan peruntukan sedia ada.
“Antaranya, Seksyen 40A Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993 (Pindaan 2024) yang memperuntukkan hakim atau pendaftar yang menjalankan suatu prosiding bagi kes mal boleh menentukan supaya prosiding itu atau mana-mana bahagian prosiding dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.
“Selain itu, Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 (Pindaan 2022) turut mentafsirkan kehadiran termasuk secara teknologi komunikasi jarak jauh sebagaimana diarahkan mahkamah,” katanya.
Bermula hari ini, lebih 200,000 penjawat awam melaksanakan arahan bekerja dari rumah (BDR).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, kelulusan untuk pelaksanaan BDR bagaimanapun tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas. – UTUSAN










