MOSCOW: Duta Rusia di Afghanistan memuji kejayaan Taliban menguasai negara itu semula selepas 20 tahun dan menjadikan Kabul lebih selamat dalam tempoh 24 jam berbanding di bawah pemerintahan Presiden, Ashraf Ghani.
Waalupun Rusia mengiktiraf Taliban sebagai pemerintah yang sah, namun, kumpulan itu masih dilabelkan sebagai entiti pengganas oleh Rusia.
Kenyataan yang dibuat oleh Dmitry Zhirnov mencerminkan usaha Rusia untuk mengeratkan hubungan baik dengan Taliban.
Tindakan Rusia itu malah dilihat bagi memastikan ketidakstabilan di Afghanistan tidak merebak ke Asia Tengah serta menjadi pencetus bagi kumpulan militan ekstrem lain.
Rusia turut terkejut seperti kebanyakan negara lain dengan penguasaan begitu cepat oleh Taliban walaupun Amerika Syarikat (AS) masih menjalankan proses pemindahan rakyatnya.
Menerusi temubual dalam stesen radio Ekho Moskvy, Zhirnov memuji tindakan Taliban dan menyifatkan ia sebagai ‘baik, positif dan mirip perniagaan’.
“Situasinya aman, baik dan semuanya dalam keadaan tenang di bandar itu. Situasi Kabul di bawah Taliban lebih baik berbanding di bawah Presiden, Ashraf Ghani,” katanya.
Ashraf dilaporkan melarikan diri ke lokasi yang tidak dapat dikenal pasti kerana mahu mengelakkan pertempuran darah. -REUTERS










