Jepun mangsa sabotaj vaksin Covid-19? - Utusan Malaysia

Jepun mangsa sabotaj vaksin Covid-19?

Mustahil untuk mengubal undang-undang mewajibkan semua kena ambil vaksin kerana ia melanggar hak asasi manusia.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun berdepan dengan krisis pencemaran vaksin Covid-19 selepas wilayah Okinawa pula menangguhkan penggunaan vaksin keluaran Moderna susulan beberapa lagi kes baharu dikesan.

Pihak berkuasa Okinawa memaklumkan, berikutan kes pencemaran itu, program vaksinasi di wilayah tersebut terpaksa dihentikan serta-merta.

“Kami menangguhkan penggunaan vaksin Moderna selepas beberapa botol vaksin dikesan dicemari dengan benda asing,” jelas pihak berkuasa wilayah itu.

Insiden itu berlaku sehari selepas Kementerian Kesihatan Jepun mengumumkan pihaknya menyiasat mengenai kematian dua lelaki selepas menerima suntikan vaksin Moderna.

Dua lelaki tersebut yang masing-masing berusia 30 dan 38 tahun maut pada awal Ogos lalu selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Moderna.

Kedua-dua lelaki tersebut didakwa menerima dos suntikan daripada bekalan vaksin yang ditangguhkan penggunaannya oleh kerajaan pada Khamis lalu akibat dicemari dengan benda asing.

Sehingga kini, punca kematian dua lelaki tersebut masih belum dikenal pasti.

Sebelum ini, kerajaan Jepun menangguhkan penggunaan sebanyak 1.63 juta dos vaksin Moderna selepas menemukan benda asing dalam botol vaksin.

“Ketika ini, kami tidak mempunyai bukti untuk mengaitkan kematian dua lelaki tersebut dengan vaksin Moderna yang tercemar dan adalah penting untuk melakukan siasatan terperinci bagi mencari punca sebenar,” menurut Moderna dan syarikat pengedar ubatan, Takeda dalam kenyataan bersama.

Selain itu, kedua-dua pihak berkenaan memaklumkan, botol vaksin yang tercemar sudah dihantar ke makmal untuk dianalisis dan laporan awal mengenai benda asing itu dijangka diperoleh seawal minggu depan.

Pihak berkuasa Jepun sebelum ini memaklumkan, terdapat partikel besi dalam botol vaksin yang tercemar.

Namun, Moderna menegaskan pihaknya belum mengenal pasti jenis partikel yang mencemari bekalan vaksinnya.

Dalam pada itu, syarikat farmaseutikal Sepanyol, ROVI yang merupakan kontraktor Moderna memaklumkan siasatan rapi dilakukan untuk mengenal pasti bagaimana pencemaran vaksin boleh berlaku dan hanya melibatkan bekalan di Jepun.

Syarikat itu tidak menolak kemungkinan pencemaran itu berlaku di peringkat pengeluaran.

Sementara itu, kira-kira 44 peratus populasi Jepun sudah menerima vaksinasi lengkap ketika negara ini bergelut dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Lebih 15,800 penduduk Jepun maut akibat Covid-19 dengan sebahagian besar bandar utama di negara ini masih melaksanakan sekatan ketat untuk mengekang penularan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya