BAITULMUQADDIS: Israel mencapai persetujuan dengan Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai mekanisme untuk menyalurkan dana dari negara Teluk ke Semenanjung Gaza.
Langkah itu meningkatkan prospek bantuan di Palestin, terutamanya di Gaza yang berdepan dengan kemusnahan teruk susulan konflik Israel-Hamas.
Bantuan itu ditangguhkan pada Mei lalu disebabkan pertikaian oleh Israel mengenai Hamas dan perdebatan untuk mencegah pergerakan itu daripada mengakses dana tersebut.
Sambil mengumumkan perjanjian itu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan Qatar untuk mewujudkan mekanisme yang memastikan dana berkenaan sampai kepada penduduk Gaza, selain mengekalkan keselamatan Israel.
Dibawah mekanisme baharu itu, dana dari Qatar akan dipindahkan terus oleh PBB kepada akaun bank ratusan ribu penduduk Gaza, sambil dipantau oleh Israel, kata Gantz.
Tambahnya, Israel juga akan terus memberi tekanan kepada Hamas untuk membebaskan tentera dan warga Israel yang ditahan oleh kumpulan tersebut.
Qatar telah menyalurkan ratusan juta dolar kepada keluarga miskin di Gaza sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dana tersebut menjadi sumber utama bagi wilayah miskin itu yang mana kadar pengangguran meningkat sekitar 50 peratus.
Namun, sejak konflik Mei lalu, Israel menyekat penyaluran dana itu dan menegaskan untuk melindungi wang tersebut daripada jatuh ke tangan Hamas.
Dibawah sistem itu sebelum peperangan, sebanyak AS$30 juta (RM127 juta) wang tunai diagihkan ke Gaza setiap bulan melalui lintasan yang dikendalikan Israel.
Jawatankuasa Pembinaan Semula Semenanjung Gaza dibawah Qatar memaklumkan pihaknya sudah menandatangani memorandum persefahaman dengan PBB untuk mengagihkan AS$100 (RM423.72) kepada setiap 100,000 keluarga bermula September.
Lebih 4,000 rumah di Gaza musnah atau rosak dalam pertempuran Mei lalu dengan Bank Dunia menganggarkan kerugian mencecah sebanyak AS$380 juta (RM1.61 bilion). – AGENSI










