GAZA: Tentera rejim Zionis bertindak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan terdiri daripada penduduk Palestin di sempadan Gaza dengan 41 dilaporkan cedera termasuk dua berada dalam keadaan kritikal.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, salah seorang mangsa yang kritikal adalah remaja berusia 13 tahun yang ditembak di bahagian kepala.
Kebanyakan mangsa lain mengalami kecederaan ringan apabila tembakan mengenai bahagian anggota badan, punggung dan perut.
Tembakan balas dari kawasan sempadan itu turut mencederakan polis sempadan Israel yang terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Setakat ini, tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden tembakan yang berlaku di Gaza.
Kecederaan itu berlaku semasa protes yang dianjurkan oleh pejuang Hamas mengajak penduduk Palestin memperingati peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa, 52 tahun lalu.
Ratusan penduduk Palestin berkumpul di pagar sempadan dan bertindak balas dengan melemparkan bahan letupan ke arah tentera Israel.
Pertempuran terkini penduduk Palestin dengan polis Israel mencetuskan konflik Israel-Hamas selama 11 hari, sejak Mei lalu.
“Pasukan IDF (tentera Israel) bertindak balas dengan melakukan tembakan. Malah, Israel turut menghantar jet tempur menyerang lokasi Hamas di Gaza malam kelmarin,” kata tentera Israel dalam kenyataan.
Jet tempur Israel dilaporkan menyerang empat tempat penyimpanan dan pembuatan senjata milik Hamas.
Rentetan itu, tentera Zionis menghantar pasukan keselamatan tambahan ke kawasan sempadan Gaza.
Media Israel melaporkan pasukan tentera meningkatkan penggunaan sistem anti peluru berpandu, Iron Dome.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, serangan udara Sabtu lalu menunjukkan Israel berusaha menutup kegagalan dan kekecewaannya di hadapan keteguhan dan keberanian rakyat Palestin.-REUTERS