Guru lipat 1,776 origami merak, cipta rekod dunia - Utusan Malaysia

Guru lipat 1,776 origami merak, cipta rekod dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Seorang guru matematik dari India yang memilih origami sebagai kaedah untuk mengajar konsep itu kepada pelajarnya, mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness.

Lapor portal UPI, Ravi Kumar Toleti berjaya mencipta rekod baharu selepas melipat sebanyak 1,776 helai kertas dalam reka bentuk burung merak.

Ravi yang berusia 57 tahun berkata, dia mula mempelajari teknik lipatan kertas itu beberapa tahun lalu sebagai salah satu kaedah mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains kepada pelajarnya.

Malah, katanya, minatnya terhadap origami semakin berkembang sehingga dia memutuskan untuk mencabar diri sendiri untuk memasuki Rekod Dunia Guinness.

Ravi berkata, dia mahu mencipta rekod baharu dengan menghasilkan origami bentuk burung merak bagi memberi penghargaan kepada negaranya.

“Ia merupakan tugasan mencabar tetapi minat dalam origami mendorong saya hingga mencapai kejayaan ini,” katanya kepada New Indian Express.

Menurut Ravi, dia mengambil masa selama 16 hari untuk menghasilkan 1,776 origami bentuk burung merak.

“Saya meluangkan masa kira-kira empat jam sehari untuk membentuk origami tersebut,” katanya.

Jelas Ravi, kesemua ciptaan origami bentuk burung merak itu dipamerkan di auditorium Kalamandir di Sekolah Kendriya Vidyalaya di Trimulgherry, Secunderabad.

Ravi mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guinness bagi pameran origami bentuk burung merak yang terbesar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN