JAKARTA: Akibat kos sara hidup yang semakin meningkat, sekumpulan wanita yang terdiri daripada tiga wanita nekad menjadi penyeluk saku di pasar raya bagi menampung kehidupan mereka.
Lapor Suara.com, selama tiga tahun menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang itu, mereka belum pernah ditangkap malah melakukannya sebanyak 50 kali.
Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Yusri Yunus berkata, setiap hasil curian itu akan diagihkan sesama mereka untuk membeli barangan keperluan harian.
Katanya, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pengunjung pusat beli belah dengan memakai tudung bagi menyembunyikan identiti sebenar mereka.
Jelasnya, sindiket itu diketuai oleh seorang wanita, YR, 44 dan dibantu dua wanita lain, WM, 33 serta RH, 43 dan kesemua suspek sudah berkahwin.
“Mereka mengaku menjalankan aktiviti itu sejak tiga tahun lalu dengan 50 kali menyeluk saku di tempat yang sesak dan dipenuhi ramai orang,” jelasnya.
Berhubung sindiket menyeluk saku itu, pihak polis turut menahan dua individu lain yang bertindak sebagai joki dan pengumpul barangan yang dicuri. -AGENSI










