SYDNEY: Ibu negara Australia, Canberra akan melaksanakan perintah berkurung selama seminggu bermula hari ini, selepas satu kes Covid-19 dikesan di bandar tersebut.
Kira-kira 400,000 penduduk yang tinggal di bandar itu diletakkan di bawah perintah berada di rumah bermula pukul 5 petang (waktu tempatan), sekali gus menyertai jutaan orang di tenggara Australia.
“Kita sedang berdepan dengan risiko kesihatan awam yang paling serius pada tahun ini. Malah, sejak pandemik bermula,” kata Ketua Menteri, Andrew Barr.
Tambah beliau, pesakit Covid-19 pernah berada dalam kalangan komuniti dan dikhuatiri boleh berjangkit dengan mudah.
Canberra tidak pernah dikenakan perintah berkurung sejak sekatan itu dilaksanakan di seluruh negara pada peringkat awal pandemik pada 2020.
Lebih 10 juta penduduk di bandar Melbourne dan Sydney diletakkan dibawah perintah berkurung ketika pihak berkuasa berusaha untuk mengurangkan penambahan kes positif jangkitan Covid-19. – AFP










