KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengoptimumkan penggunaan diesel sebagai langkah penjimatan tanpa menjejaskan kecekapan operasi agensi berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada seluruh jabatan di bawah seliaan agensi tersebut.
Katanya, setakat ini JBPM hanya merasakan kesan minimum dan krisis yang berlaku tidak mengganggu kelancaran operasi pemadaman kebakaran serta penyelamatan di seluruh negara.
“Setakat ini sikit-sikit sahaja (kesan konflik Asia Barat dan kenaikan harga diesel). Tidak banyak sangat kerana dalam keadaan biasa pun, kita mengawal penggunaan bahan api dan sebagainya. Apabila mengetahui keadaan sebegini, kawalan itu dipertingkat.
“Namun, dalam menjalankan khidmat wajib kita tidak boleh berkompromi dan mesti melaksanakan tugas yang telah diamanahkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan, di sini hari ini.
Ahmad Izram berkata, pihaknya tidak dapat membuat sebarang jangkaan peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel setakat ini, namun perlu mengambil langkah bijak dalam pengagihan peruntukan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kebombaan secara menyeluruh.
Katanya, sepanjang krisis kenaikan harga diesel serta konflik Asia Barat masih berlarutan, penyaluran peruntukan ditumpukan kepada operasi pemadaman kebakaran dan penyelamatan.
“Kita tidak tahu jangkaan kenaikan kos operasi bomba. Namun, dalam menjalankan perkhidmatan ini kita sentiasa menyalurkan peruntukan daripada perkara kurang penting kepada operasi pemadaman kebakaran dan penyelamatan.
“Langkah berjimat-cermat tetap dilaksanakan kerana kita tidak pasti tempoh krisis ini berlarutan. Kita berusaha sedaya upaya supaya tidak berlaku sebarang gangguan terhadap perkhidmatan bomba di seluruh negara,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Izram berkata, JBPM bersedia menghulurkan bantuan logistik bagi operasi pembenihan awan pada musim kemarau sekiranya diperlukan. – UTUSAN










