ISTANBUL: Banjir akibat hujan lebat dilaporkan melanda pantai utara Turki sehingga menyebabkan sebuah jambatan runtuh dan bekalan elektrik terputus di beberapa perkampungan.
Lapor Al Jazeera, bencana itu berlaku beberapa hari selepas kebakaran hutan besar menjejaskan kawasan barat daya negara itu.
Stesen televisyen tempatan TRT Haber melaporkan, seorang meninggal dunia akibat serangan jantung di wilayah utara Bartin ketika banjir melanda kawasan tersebut.
Pasukan penyelamat sedang mencari seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian itu.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki memaklumkan seramai 13 orang cedera selepas sebuah jambatan runtuh di Bartin dan 12 kampung terputus bekalan elektrik.
Agensi berita Reuters melaporkan, sebuah rumah musnah dan beberapa kereta terkandas akibat banjir di wilayah Sinop, kira-kira 240 kilometer (km) timur Bartin.
Jelas AFAD, sebuah hospital diarahkan untuk dikosongkan dan beberapa jalan ditutup di Sinop kerana amaran hujan lebta di kawasan itu dijangka berterusan. – AGENSI










