PUTRAJAYA: Dua kapal tangki minyak milik negara yang terkandas di Selat Hormuz sebelum ini dijangka tiba di tanah air secara berperingkat mulai Jumaat ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebuah kapal akan tiba pada Jumaat ini manakala, sebuah lagi akan tiba minggu hadapan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, lima buah kapal Malaysia yang lain masih berada di lokasi berkenaan.
“Pada waktu ini dimaklumkan terdapat dua kapal yang dalam perjalanan. Satu dijangka tiba pada 17 hari bulan April manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya. Terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengesahkan enam daripada tujuh kapal Malaysia sudah mendapat kelulusan dan menunggu giliran untuk belayar melepasi Selat Hormuz membawa bekalan minyak mentah ke negara ini.
Menurutnya, sebuah lagi kapal sudah keluar membawa bekalan terbabit, justeru bekalan minyak untuk bulan ini dan Mei dijangka berada dalam keadaan yang terkawal. – UTUSAN










