KIEV: Seorang aktivis Belarus yang mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang membantu warganegaranya meninggalkan negara itu akibat penindasan, dilaporkan hilang di Ukraine.
Vitali Shishov yang merupakan ketua Belarusian House di Ukraine, dilaporkan sedang berjoging di Kiev pada pagi semalam namun masih belum pulang dan tidak dapat dihubunginya menerusi telefon bimbit.
Perkara itu disahkan oleh organisasi tersebut menerusi Telegram.
Menurut organisasi itu, polis dan sukarelawan sudah melakukan pencarian di lokasi Shishov berjoging namun masih gagal mengesan aktivis berkenaan.
Beberapa rakan Shishov mendakwa aktivis itu `dipantau’ oleh individu tidak dikenali ketika berjoging baru-baru ini.
Ramai warga Belarus meninggalkan negara mereka selepas kejadian tindakan kekerasan pada tahun lalu.
Ukraine, Poland dan Lithuania menjadi negara pilihan bagi penduduk yang melarikan diri akibat penindasan berikutan insiden pilihan raya presiden di Belarus pada Ogos 2020. – AFP/AGENSI










