DOHA: Selepas berhari-hari memastikan sembilan ahli pasukan wanita robotik Afghanistan berada dalam keadaan selamat, kesemua mereka akhirnya berjaya mendarat di Qatar.
Lapor BBC, pihak pengurusan pasukan itu sudah mengesahkan mengenai perkara itu.
Penerbangan keluar dari Afghanistan diuruskan oleh kerajaan Qatar yang berusaha mempercepatkan visa dan menghantar pesawat kepada ahli pasukan itu.
Pasukan robotik itu mencipta sejarah pada 2017 selepas memenangi anugerah khas dalam pertandingan robotik antarabangsa di Amerika Syarikat (AS).
Usaha membawa kesemua ahli pasukan berumur antara 15 hingga 19 tahun, termasuk seorang guru 25 tahun itu susulan situasi keselamatan yang membimbangkan di Kabul sejak beberapa hari lalu.
US-based Digital Citizen Fund (DCF) dalam kenyataan memberitahu pasukan tersebut meminta bantuan dari Qatar sejak 12 Ogos lalu, iaitu tiga hari sebelum Kabul ditawan Taliban.
Kesemua remaja yang berada di Doha itu akan kekal berada di Qatar atau melanjutkan pelajaran mereka.
Malah, beberapa universiti dari seluruh dunia termasuk AS menawarkan biasasiwa pengajian kepada remaja tersebut.










