42 kes baharu Covid-19, Brunei umum langkah kawalan diperketatkan - Utusan Malaysia

42 kes baharu Covid-19, Brunei umum langkah kawalan diperketatkan

SEORANG warga emas memakai pelitup muka ketika membeli-belah di Pasar Gadong, Bandar Seri Begawan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Kementerian Kesihatan Brunei melalui titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan lagi dengan serta-merta hingga 21 Ogos ini.

Pelita Brunei melaporkan, Kementerian Kesihatan sedang mencuba sedaya upaya untuk memberikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada orang ramai, berikutan peningkatan jumlah kes dan kontak yang begitu ramai.

Menteri Kesihatan, Dr. Awang Md. Isham Jaafar menjelaskan, langkah-langkah pengawalan itu, termasuklah tidak membenarkan sebarang perkumpulan ramai.

Bagaimanapun jelas beliau, pengecualian adalah dibenarkan iaitu bagi perkumpulan seramai 15 orang untuk pengurusan jenazah (bukan Covid-19), perkumpulan seramai lima orang untuk majlis akad nikah dan bagi orang tua yang tinggal berasingan dari ahli keluarga lain, hanya dua orang ahli keluarga dibenarkan untuk melawat orang tua mereka pada satu-satu masa.

Sementara itu, aktiviti riadah, seperti ‘jogging’ dan ‘hiking’ adalah dibenarkan secara individu manakala riadah berkumpulan adalah dibenarkan bagi dua orang yang tinggal serumah.

Menyentuh mengenai bekerja dari rumah, beliau menegaskan, semua pegawai dan kakitangan, sama ada kerajaan atau swasta dikehendaki melakukan perkara itu.

“Hanya petugas-petugas yang diperlukan dibenarkan keluar ke tempat kerja, merangkumi petugas barisan hadapan dari sektor kesihatan, sektor keselamatan, perhotelan, pengangkutan, keperluan harian (makanan, perniagaan runcit), sektor kemudahan dan utiliti (elektrik, air, telekomunikasi), petugas di sempadan dan pintu-pintu masuk negara, sektor minyak dan gas dan hiliran, sektor pembinaan, sektor agromakanan dan perhutanan,” katanya.

Tegas beliau, keluar rumah tanpa tujuan yang mustahak adalah tidak dibenarkan.

“Hanya dua orang dari satu keluarga dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian,” katanya.

Semalam, Brunei mencatatkan 42 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini 406 orang.

Empat kes baharu tersebut ada kaitan dengan Kluster Total, yang dilaporkan kelmarin manakala 29 lagi kes baharu ada kaitan dengan kes ke-363.

Lima lagi kes baharu tersebut juga ada kaitan dengan kes ke-364, yang dilaporkan kelmarin, di mana kluster itu dikenali sebagai Kluster ABCi, sementara empat lagi kes baharu adalah kes import, merupakan sebuah keluarga yang tiba dari Afrika, melalui Kuala Lumpur, pada 30 Julai lalu.

Pengesanan kontak bagi semua kes baharu berkenaan masih giat dijalankan.

Dengan pengesanan kes-kes terbaharu itu, terdapat 38 kes jangkitan tempatan dikesan di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya