BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mengumumkan satu perjanjian bagi penduduk Yahudi untuk meninggalkan penempatan haram di kawasan Tebing Barat.
Bennett mendedahkan butiran perjanjian itu yang antara lain meminta penduduk Yahudi meninggalkan penempatan Eviatar esok sebelum pukul 4 petang (waktu tempatan).
Satu dokumen yang menggariskan beberapa syarat berkaitan perjanjian yang dilaporkan sebelum ini mengesahkan kediaman bergerak penduduk Yahudi akan kekal berada kawasan itu dan tentera Israel akan mendirikan pangkalan di kawasan tersebut.
Jelas dokumen itu, susulan pemindahan itu, Kementerian Pertahanan akan menjalankan kajian hak pemilikan tanah di lokasi tersebut secepat mungkin bagi menentukan sama ada boleh dilabel sebagai milik Israel.
Sekiranya kajian itu mengesahkan tanah tersebut milik Israel maka sebuah institusi keagamaan akan dibenarkan untuk dibina.
Penduduk Yahudi membina penempatan Eviatar berhampiran bandar Nablus sejak beberapa minggu lalu yang dilihat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan Israel.
Tindakan itu juga mencetuskan siri bantahan dari penduduk Palestin yang tinggal di kampung berhampiran. – AFP










