JAKARTA: Ramai penduduk Indonesia dilaporkan mula beralih kepada kaedah alternatif untuk mengelakkan daripada dijangkiti wabak Covid-19.
Daripada susu steril hingga ke kelapa muda, penduduk terus membeli stok bekalan minuman, makanan dan rempah ketika kes Covid-19 meningkat secara mendadak di negara tersebut.
Beberapa mesej yang mendakwa kaedah itu amat berkesan dalam mencegah dan merawat Covid-19 tular di laman media sosial sehingga mengakibatkan permintaan dan harga melambung tinggi bagi
makanan tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pakar menyuarakan kebimbangan mengenai kesan sampingan akan dialami selepas pengambilan makanan dan minuman secara berlebihan.
Malah, pakar juga bimbang tindakan itu akan menyebabkan penduduk menjadi leka dalam mematuhi protokol kesihatan kerana menganggap mereka dilindungi.
“Orang ramai memperoleh maklumat salah mengenai makanan ini dengan ada yang mendakwanya dapat menyembuhkan wabak Covid-19 atau mencegah daripada dijangkiti dan merawat beberapa gejala.
“Tiada ujian klinikal yang menunjukkan kaedah itu berkesan dalam mencegah dan menyembuhkan Covid-19,” kata Pengarah Kementerian Kesihatan Indonesia bagi Jabatan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit, Dr. Siti Nadia Tarmizi.
Nadia dalam satu temubual bersama Channel News Asia berkata, kementerian kesihatan sudah beberapa kali mengingatkan orang ramai agar tidak menyimpan stok bekalan tersebut namun ia seperti tidak dipedulikan.
Baru-baru ini, beberapa video menunjukkan penduduk Indonesia berebut membeli stok bekalan susu lembu jenama tertentu, menjadi tular di laman media sosial.
Situasi itu berlaku disebabkan maklumat belum disahkan bahawa jenama susu yang disterilkan dapat meningkatkan antibodi sekali gus mencegah jangkitan Covid-19.
KES KEMATIAN
Sementara itu, Al Jazeera melaporkan Indonesia mengambil alih kedudukan India dengan merekodkan jangkitan harian Covid-19 tertinggi pada bulan ini.
Malah, negara itu juga mengatasi Brazil dengan mencatatkan jumlah kematian harian tertinggi akibat Covid-19.
Setakat ini, jumlah kematian Covid-19 di Indonesia mencecah lebih 73,000 kes.
Semalam, Indonesia melaporkan sebanyak 1,338 kes kematian Covid-19 yang merupakan jumlah harian tertinggi setakat ini.
Bagaimanapun beberapa pakar berpandangan angka itu mungkin tidak merangkumi bilangan sebenar memandangkan ujian saringan Covid-19 masih berada pada tahap yang rendah.
Seorang pengasas bersama Lapor Covid-19, Ahmad Arif berkata, kajian dilakukan oleh pertubuhan itu menunjukkan jumlah kematian sebenar adalah tiga hingga lima kali ganda berbanding angka dikeluarkan oleh kerajaan. – AGENSI










