Eropah dilanda malapetaka - Utusan Malaysia

Eropah dilanda malapetaka

RATUSAN penduduk dpindahkan dari kediaman masing-masing selepas kebakaran hutan berlaku di Manavgat, Turki. - ANADOLU AGENCY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Pada bulan ini, Eropah dilanda musim tengkujuh luar biasa sehingga mencetuskan banjir besar di Jerman dan Belgium, menyaksikan lebih 200 orang maut, manakala Itali pula berdepan dengan insiden tanah runtuh.

Namun, banjir bukanlah satu-satunya kebimbangan ketika ini kerana pihak berkuasa di Sardinia dan Turki bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan yang setakat ini sudah memusnahkan ribuan hektar tanah, selain lebih 1,500 penduduk dipindahkan.

Kebakaran hutan turut berlaku di timur laut wilayah Catalonia, Sepanyol dengan lebih 1,500 hektar tanah musnah, manakala bomba di Greece bekerja keras memadam 50 kebakaran hutan dalam tempoh 24 jam.

Di Turki, ratusan penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing semalam selepas kawasan hutan berhampiran sebuah resort percutian yang terkenal dalam kalangan pelancong Rusia hangus terbakar.

Siaran televisyen menunjukkan pasukan bomba menggunakan helikopter untuk memadam kebakaran infrastruktur dan kawasan lapang di pekan Manavgat.

Lapor CNN Turk, empat daerah di pekan tersebut sudah dikosongkan dan kebakaran semakin hampir berjaya dikawal.

Pihak berkuasa di pulau Sardinia di Itali pula mengisytiharkan darurat dan lebih 1,500 penduduk dipindahkan selepas kebakaran hutan memusnahkan 20,000 hektar tanah di wilayah Oristano.

Sebanyak 7,500 bomba dikerah ke lokasi kebakaran, manakala Perancis dan Greece turut menghulurkan bantuan untuk memadam api.

Presiden Sardinia, Christian Solinas menyifatkan kebakaran hutan itu sebagai ‘bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini’.

Di Greece, Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis memaklumkan bomba bertungkus-lumus memadam 50 kebakaran hutan dalam tepoh 24 jam pada minggu lalu.

Katanya, keadaan dijangka ‘kritikal’ pada Ogos ini dan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati.

Keadaan di selatan Eropah juga memburuk akibat hujan lebat, menyaksikan Austria hingga Britain dilanda banjir.

Dalam pada itu, beberapa insiden tanah runtuh juga dilaporkan berlaku di Itali awal minggu ini, menyebabkan banyak jalan utama rosak akibat tanah mendap.

Beberapa perkampungan juga terputus hubungan selepas jalan utama runtuh akibat hujan lebat, selain banyak kenderaan rosak.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 180 penduduk maut di Jerman dengan lebih 70 hilang akibat banjir besar yang melanda dua minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya