Rakyat China serik insiden Wuhan berulang - Utusan Malaysia

Rakyat China serik insiden Wuhan berulang

SEORANG wanita membetulkan pelitup muka anaknya ketika tiba di Stesen Kereta Api Hankou di Wuhan, China pada 8 April 2020. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Apabila vaksin Covid-19 dibuka kepada penduduk awam di Shenyang di timur laut China pada hujung April lalu, seorang suri rumah, Li Tingting beranggapan dia tidak perlu tergesa-gesa mendaftar.

Tiada rekod jangkitan tempatan dilaporkan beberapa bulan dan Tingting akan pergi ke pasar setiap hari tanpa bimbang jangkitan boleh menular.

Namun, wanita itu mengubah fikirannya beberapa minggu selepas itu susulan tiga penduduk di tempat tinggalnya meninggal dunia akibat Covid-19 dan sejak itu, sudah tiga kali dia pergi pusat vaksinasi.

Bagaimanapun, kesemua slot sudah penuh dan Tingting terpaksa terus menunggu dan mencuba nasibnya setiap hari.

Lapor South China Morning Post, keadaan itu menyebabkan ramai penduduk China pergi ke bandar atau daerah lain bagi mendapatkan suntikan vaksin dan keinginan tinggi itu mendorong kerajaan mempercepatkan pemberian vaksin.

Sejak Beijing mempergiatkan vaksinasi pada Mei lalu, China memberi suntikan vaksin secara purata 18.25 juta dos setiap hari pada Jun dan sehingga kelmarin, sebanyak satu bilion dos sudah diberikan secara keseluruhan.

Jumlah itu semakin hampir dengan misi China yang menyasarkan 40 peratus daripada 1.4 bilion populasi untuk menerima suntikan vaksin menjelang akhir bulan ini.

China ketika ini mengambil masa selama enam hari untuk memberi 100 juta dos vaksin kepada penduduknya, berbanding 25 hari ketika mula-mula melaksanakan program vaksinasi.

 

Covid-19 belum terkawal

Kempen vaksinasi sebelum ini bergerak perlahan kerana ramai penduduk China bimbang akan kesan sampingan vaksin dengan 54 peratus daripadanya tidak pasti sama ada perlu mendapatkan vaksin atau tidak.

Namun, permintaan tinggi terhadap vaksin ketika ini tidak bermakna rakyat China sudah yakin dengan kesan vaksin, sebaliknya mereka khuatir dengan penularan jangkitan di Liaoning, Anhui dan Guangzhou.

Penularan kes jangkitan dia tiga wilayah itu ‘meruntuhkan kepercayaan’ mereka bahawa Covid-19 sudah terkawal dan situasi kritikal boleh berlaku pada bila-bila masa.

 

Tawaran hadiah menarik

Pemberian kupon beli-belah, minyak masak, susu, telur dan tisu antara tawaran hadiah yang diberikan kepada penduduk yang sudah menerima suntikan dua dos vaksin.

Pekerja premis perniagaan dan penghuni kawasan kediaman yang sudah 80 peratus mendapatkan suntikan vaksin akan diiktiraf dan diberi pujian oleh pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, mereka yang belum mendapat suntikan vaksin bakal berdepan dengan sekatan pergerakan termasuk pusat beli-belah, bangunan pejabat, malah hospital.

 

Sasaran 70 peratus

Kejayaan China mempercepatkan program vaksinasinya bakal membolehkan negara ini mencapai jumlah 70 peratus penduduk sudah divaksinasi menjelang akhir tahun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN