Dalam dunia kesusasteraan Melayu yang sentiasa berkembang, kemunculan genre baharu sering menjadi tanda keberanian intelektual dan kreativiti seseorang pengarang.
Puigrafi hadir sebagai bentuk segar yang menggabungkan puisi dan biografi dalam satu jalur estetik yang unik. Usaha ini memperluas horizon pemahaman pembaca terhadap tokoh-tokoh besar dan terpilih melalui bahasa yang lebih puitis dan berjiwa.
Puisigrafi sebagaimana yang diperkenalkan merupakan genre puisi yang memaparkan riwayat hidup seseorang dalam puisi iaitu sajak. Fakta dan pengalaman hidup tokoh disaring ke dalam bait-bait yang padat, ringkas, namun sarat makna. Pembaca tidak perlu menelusuri helaian biografi yang panjang, sebaliknya dapat menyelami inti kehidupan melalui bahasa puisi yang jelas dan memikat.
Kehadiran buku Puigrafi: Kumpulan Puisi Biografi hasil tulisan Dr. Zabidin Ismail menandakan satu anjakan penting dalam dunia persajakan tanah air. Karya ini membawa pembaharuan dengan menggabungkan dua disiplin ilmu iaitu sejarah hidup dan estetika bahasa dalam satu bentuk yang bersepadu dan berkoheran.
Sebagai genre yang berbeza daripada konvensional, puigrafi mencabar norma lama dalam penulisan sajak. Sajak tidak lagi terikat sepenuhnya kepada perasaan dan imaginasi, sebaliknya turut merakam fakta dan realiti kehidupan tokoh. Gabungan tersebut membentuk jambatan antara seni dan dokumentasi. Walaupun tampak terhad tetapi sekurang-kurangnya menyuntik ilmu dan pengetahuan berguna tentang tokoh-tokoh terpilih.
Antara keistimewaan karya ini adalah pemilihan tokoh-tokoh besar yang telah meninggalkan kesan mendalam dalam pelbagai bidang.
Nama seperti P. Ramlee, Usman Awang, Mokhtar Dahari, Sudirman Haji Arshad, Mat Kilau, Za’ba, Jins Shamsudin dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj diangkat dengan penuh hormat dalam bentuk puisi biografi.
Setiap tokoh yang diketengahkan bukan sahaja dikenang melalui fakta sejarah, malah dihidupkan kembali melalui keindahan berbahasa. Dalam bait-bait yang ekonomis, pembaca dapat merasakan denyut perjuangan, semangat, serta sumbangan mereka terhadap wangsa dan negara.
Keberanian penulis untuk mengangkat genre ini wajar diberikan perhatian. Dalam dunia penerbitan yang sering bergantung pada bentuk yang telah mapan, usaha menghasilkan sesuatu yang baharu menuntut keyakinan, kecekalan dan visi yang jelas.
Tambahan pula, karya ini merupakan antara yang julung kali diterbitkan di Malaysia dalam bentuk sedemikian. Keadaan ini membuka ruang kepada kemungkinan baharu dalam dunia sastera tempatan.
Genre seperti ini jarang diterbitkan, sekali gus memberikan nilai tersendiri kepada pembaca. Ruang baharu terbuka luas untuk penulis lain meneroka pendekatan yang sama atau mengembangkannya dengan lebih kreatif dan kritis.
Antara tujuan utama penerbitan puigrafi adalah untuk menyebarluaskan ilmu tentang tokoh-tokoh terpilih. Dalam dunia yang serba pantas, pendekatan ini memudahkan pembaca mengenali figura penting tanpa bergantung sepenuhnya kepada teks akademik yang panjang.
Selain itu, puigrafi berfungsi sebagai medium mengenang jasa dan sumbangan tokoh dalam bidang masing-masing. Nilai dan semangat perjuangan dapat disampaikan dengan lebih dekat dan menyentuh jiwa. Dari sudut
bahasa dan sastera, genre ini memperkayakan khazanah melalui pendekatan yang lebih kreatif. Puisi tampil sebagai medium penyampaian ilmu dan sejarah yang berkesan serta segar.
Dr. Zabidin Ismail, Tokoh Budaya Negeri Perak 2015 serta pemimpin Persatuan Penulis Perak (Karyawan Pk), memperlihatkan komitmen tinggi dalam memartabatkan bahasa dan sastera.

Kepimpinan dan pengalaman beliau terserlah melalui keberanian meneroka genre yang belum banyak diterokai oleh penulis lain. Usaha ini wajar diteruskan dan diperkasakan. Dunia sastera memerlukan lebih banyak eksperimen dan inovasi agar terus relevan serta berdaya tahan dalam menghadapi perubahan zaman.
Kesimpulannya, puigrafi menghubungkan sejarah, tokoh dan bahasa dalam satu kesatuan atau kohesi yang indah. Pembaca diajak mengenali, menghargai dan meneladani tokoh-tokoh besar melalui jalur yang lebih halus dan menyentuh jiwa. Dalam keberanian mencipta kelainan, sastera menemukan masa depan yang hidup dan terus berdenyut dalam nadi bangsa madani. -UTUSAN









