Ancaman senyap terhadap penglihatan

Ancaman senyap terhadap penglihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam era digital hari ini, nasihat kesihatan hanya di hujung jari. Daripada media sosial hingga ke platform jualan dalam talian, pelbagai produk menawarkan penyelesaian cepat untuk pelbagai masalah kesihatan seperti penglihatan.

Antara yang semakin mendapat perhatian adalah suplemen mata dan ‘terapi semula jadi’ yang didakwa mampu merawat malah menyembuhkan penyakit mata kronik.

Walaupun kedengaran meyakinkan, pakar perubatan kini semakin bimbang. Trend produk yang membuat tuntutan berlebihan ini bukan sahaja mengelirukan, malah boleh menyebabkan pesakit kehilangan peluang mendapatkan rawatan tepat pada masanya. Tanpa disedari, ini mengakibatkan pesakit akhirnya mengalami kehilangan penglihatan secara kekal.

Lambakan Dakwaan Melampau Tanpa Kawalan

Carian ringkas dalam talian menunjukkan lambakan produk kesihatan mata yang dipasarkan secara agresif. Ia hadir dalam bentuk kapsul, campuran herba atau titisan mata, disertai dakwaan seperti ‘menghilangkan katarak,’ ‘memulihkan rabun mata secara semula jadi,’ atau ‘merawat penyakit mata diabetes tanpa pembedahan.’

Lebih membimbangkan, produk ini sering memaparkan label kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang membuatkan pengguna percaya ia terbukti berkesan. Hakikatnya, tanggapan ini tidak tepat dan sering disalah guna oleh penjual.

Kelulusan KKM: Selamat, bukan rawatan

Perkara paling penting yang perlu difahami adalah perbezaan antara suplemen dan ubat.

Suplemen yang berdaftar dengan KKM dinilai dari segi keselamatan, kualiti dan pelabelan. Ia bukan keberkesanan dalam merawat penyakit. Sebaliknya, ubat-ubatan perlu melalui kajian klinikal yang ketat selama bertahun-tahun untuk membuktikan keberkesanannya sebelum diluluskan. Selalunya, ubat yang lulus untuk dijual perlu melalui beberapa fasa kajian yang boleh mengambil jangka masa bertahun-tahun.

Justeru, apabila supplemen mendapatkan kelulusan KKM, ia hanya menunjukkan sesuatu produk selamat diambil dalam dos tertentu. Ia tidak membuktikan produk tersebut mampu merawat penyakit.

Namun begitu, ramai penjual menggunakan istilah ‘diluluskan KKM’ untuk meningkatkan keyakinan pengguna, sekali gus mengaburkan perbezaan antara rawatan berasaskan bukti dan produk kesihatan umum.

Risiko Kelewatan Rawatan

Isu sebenar bukanlah suplemen itu sendiri, tetapi kesan apabila ia menggantikan rawatan perubatan yang sepatutnya.

Penyakit seperti katarak, glaukoma dan retinopati diabetik adalah penyakit progresif yang memerlukan rawatan awal.

Katarak, contohnya, berlaku apabila kanta mata menjadi keruh. Satu-satunya rawatan berkesan adalah pembedahan untuk menggantikan kanta tersebut. Tiada suplemen yang boleh membalikkan proses ini. Malah, penggunaan ubat titis mata yang salah boleh memudaratkan lagi katarak mata.

Glaukoma pula merosakkan saraf optik akibat tekanan mata yang tinggi. Tanpa rawatan seperti ubat titis, laser atau pembedahan, ia boleh menyebabkan kebutaan kekal. Melengahkan rawatan boleh mengakibatkan kerosakan saraf jadi kekal.

Retinopati diabetik melibatkan kerosakan salur darah retina dan sering tidak bergejala pada peringkat awal. Tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk kehilangan penglihatan akibat urat lekang dan pendarahan dalam mata. Pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis wajib menjalani saringan mata setiap tahun dengan ‘kamera fundus’ untuk mengetahui keadaan mata.

Malangnya, pesakit yang bergantung kepada suplemen sering datang lewat iaitu apabila kerosakan sudah tidak boleh dipulihkan. Pada tahap ini, rawatan hanya mampu menyelamatkan baki penglihatan yang ada.

Mengapa pesakit mudah terpengaruh?

Terdapat beberapa sebab mengapa produk ini mendapat sambutan.

Pertama, ramai pesakit takut kepada rawatan invasif seperti pembedahan atau suntikan mata. Pil atau titisan mata kelihatan lebih mudah dan kurang menakutkan. Dengan cara ini, komitmen rendah dan rawatan boleh dihentikan tanpa nasihat doktor.

Kedua, faktor kos. Suplemen sering dipasarkan sebagai alternatif lebih murah, walaupun penggunaan jangka panjang mungkin lebih mahal berbanding rawatan sekali sahaja.

Ketiga, persepsi bahawa produk ‘semula jadi’ adalah lebih selamat. Walaupun sesetengah suplemen memang bermanfaat untuk kesihatan umum, ia tidak bermaksud ia boleh merawat penyakit.

Akhir sekali, pemasaran agresif melalui testimoni, gambar sebelum dan selepas, serta sokongan pempengaruh menjadikan produk ini kelihatan sangat meyakinkan walaupun tanpa bukti saintifik.

Membezakan fakta dan mitos

Tidak semua suplemen berbahaya. Nutrien seperti lutein, zeaxanthin dan omega-3 boleh membantu menyokong kesihatan mata. Namun, peranannya hanyalah sebagai sokongan. Ia tidak boleh menggantikan rawatan utama.
Tiada bukti saintifik yang menunjukkan suplemen mampu membalikkan katarak, menyembuhkan glaukoma atau menghapuskan retinopati diabetik.

Kesedaran adalah kunci

Dalam dunia yang dipenuhi maklumat, kesedaran pengguna amat penting.

Pesakit disarankan untuk bertanya:
 Adakah produk ini mendakwa boleh merawat penyakit?
 Adakah terdapat bukti saintifik yang kukuh?
 Adakah ia disyorkan oleh doktor?

Jika jawapannya tidak jelas, berhati-hatilah. Doktor memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Komunikasi yang terbuka dapat membantu pesakit berbincang tentang pilihan mereka tanpa rasa takut.

Pendidikan juga sangat penting. Dengan pemahaman yang jelas tentang penyakit, kepentingan rawatan awal, dan pilihan rawatan yang ada, pesakit dapat membuat keputusan yang lebih tepat.

Fenomena suplemen dengan dakwaan berlebihan mencerminkan cabaran besar dalam dunia kesihatan moden seperti membezakan antara maklumat sahih dan mengelirukan.

Walaupun KKM memastikan keselamatan produk, ia tidak mengesahkan keberkesanannya sebagai rawatan.

Penglihatan adalah aset yang penting. Diagnosis awal, rawatan tepat dan pematuhan kepada perubatan berasaskan bukti adalah kunci untuk mengekalkannya. Ini kerana dalam kesihatan mata, kelewatan yang kelihatan kecil hari ini boleh membawa kepada kehilangan penglihatan yang kekal pada masa hadapan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN