Ilham terakhir Kau Kunci Cinta Ku (Di Dalam Hatimu) - Utusan Malaysia

Ilham terakhir Kau Kunci Cinta Ku (Di Dalam Hatimu)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN Allahyarham Tan Sri Dr. Ahmad Nawab dengan penyanyi, Ramlah Ram terlalu akrab, malah diibaratkan seperti adik beradik.

Tambah pula, komposer berbakat besar itu bertanggungjawab melonjakkan nama Ramlah melalui beberapa siri kejayaannya.

Ahmad Nawab berpandangan jauh ketika menerbitkan album kedua Ramlah, Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu).

Beliau ingin menerbitkan sebuah album yang bersifat malar segar dan dapat dinikmati pendengar berlainan zaman.

Menurut anak keempat beliau, Nasir Khan, 64, album tersebut antara kejayaan terbesar yang pernah berlaku sepanjang hayat beliau.

“Ideanya untuk menghasilkan album Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatiku yang diterbitkan arwah untuk penyanyi, Ramlah Ram berlaku secara spontan.

“Album itu sebenarnya sudah siap dengan sembilan lagu. Namun, ketika dalam perjalanan hendak pulang ke rumah, arwah mendapat ilham.

“Sebaik sahaja masuk ke rumah, arwah dengan nota yang sudah siap ditulis, menggubah lagu itu dengan piano. Maka terhasillah lagu Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu.

“Album tersebut mencatat sejarah waktu itu dengan rekod jualan melebihi 400,000 unit, sekali gus menjadi antara album paling laris di zaman tersebut,” katanya.

Nasir berkata demikian ketika majlis pelancaran buku Sentuhan Emas Lagu-Lagu Tan Sri Dr Ahmad Nawab di Restoran Saloma, baru-baru ini.

Nasir mengenang arwah bapanya sebagai komposer yang berjiwa besar dan teliti terhadap karya seni yang dihasilkannya.

“Arwah ini komposer yang teratur kerjanya. Beliau akan tulis nota lagu itu terlebih dahulu, kemudian membuat gubahan dengan piano. Itu cara dia,” kongsinya.

Arwah juga diingati sebagai komposer yang terlebih dahulu menilai karakter penyanyi sebelum merakamkan album.

“Contohnya, beliau akan mengkaji terlebih dahulu sama ada penyanyi itu menyukai dangdut, pop, rock dan sebagainya.

“Agak tidak sesuai kalau penyanyi dangdut, tetapi disuruh menyanyikan lagu rock.

“Sebab itu, arwah akan kaji penyanyi itu, tona suaranya bagaimana, kegemarannya apa dan sebagainya,” katanya.

Permintaan P. Ramlee kepada Ahmad Nawab

Ahmad Nawab merupakan komposer pertama yang mendapat kepercayaan daripada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk menghasilkan lagu-lagu dalam filemnya.

Menurut Nasir, itu merupakan khazanah Ahmad Nawab yang paling bernilai dalam hidupnya.

“Sebagai pencipta lagu, P. Ramlee tidak pernah meminta lagu daripada mana-mana komposer.

“Tetapi, amat mengejutkan apabila beliau, buat pertama kalinya, meminta lagu daripada bapa saya. Antaranya untuk filem Do Re Mi.

“Bagi Ahmad Nawab, itu satu permintaan yang besar kerana pada ketika itu, nama P. Ramlee amat disegani.

“Dan ketika itulah, baru Ahmad Nawab mendakwa dirinya sebagai seorang komposer,” katanya.

Bercerita tentang hubungan antara P. Ramlee dan Ahmad Nawab, Nasir memaklumkan mereka berkawan baik.

Malah P. Ramlee pernah menawarkan bapanya membawa keluarga tinggal di salah sebuah rumahnya Kuala Lumpur.

“Mereka berkawan baik. Malah dahulu kami tinggal rumah berlokasi di Setapak Garden yang dimiliki P. Ramlee.P.Ramlee tawarkan kepada Ahmad Nawab setelah bekerjasama menghasilkan lagu dalam beberapa filem.

“Malah ketika kecil pernah berjumpa P. Ramlee. Namun tidak mengingati momen tersebut,” ujarnya.

Kata Nasir, kedua-dua seniman terulung itu, sepanjang hayat mereka, tidak pernah bermasam muka malah banyak memberi sokongan dan dorongan apabila salah satu daripada mereka ditimpa musibah.

“Hubungan mereka bukan sekadar kawan di tempat kerja, malahan peribadi. Ahmad Nawab banyak memberi sokongan ketika P. Ramlee hilang sokongan di saat-saat akhir hayatnya.

“P. Ramlee banyak meluahkan kepada ayah saya tentang masalah yang dihadapinya kerana mereka masing-masing berasal dari Pulau Pinang.

“Perkara peribadi P. Ramlee, daripada makanan kegemaran sehinggalah alat muzik kesukaan semuanya ‘dalam tangan’ Ahmad Nawab,

“Kata P. Ramlee, satu hari nanti, Ahmad Nawablah yang akan menggantikan beliau. Perkara itu terbukti dan P. Ramlee mengetahui kebolehan bapa saya dalam bidang muzik,” kongsinya.

Lagu yang tidak diiktiraf

Dalam pada itu, Nasir meluahkan rasa terkilan apabila lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab menerusi filem sepanjang zaman tidak mendapat pengiktirafan yang selayaknya.

Katanya, lagu-lagu tersebut selayaknya diberi pengiktirafan agar tidak lapuk ditelan zaman.

“Ahmad Nawab terlibat menghasilkan lagu untuk 42 filem, tetapi tidak pernah ditonjolkan.

“Antaranya yang diarahkan oleh P. Ramlee, Datuk L. Krishnan, A.R Tompel, dan M. Amin. Filem-Filem ini tidak pernah diiktiraf oleh Finas. Jadi, saya berharap Finas dapat melakukan sesuatu untuk mengiktiraf naskhah-naskhah ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN