GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo dan Uganda sebagai darurat kesihatan global, dengan risiko penularan ke negara jiran.
WHO berkata, wabak yang disebabkan virus Bundibugyo itu tidak memenuhi kriteria sebagai pandemik global, namun negara yang berkongsi sempadan darat dengan Republik Demokratik Congo berdepan risiko tinggi penularan lanjut.
Sebanyak 80 kematian disyaki, lapan kes disahkan makmal dan 246 kes disyaki direkodkan setakat Sabtu di wilayah Ituri, timur Congo, melibatkan sekurang-kurangnya tiga zon kesihatan termasuk Bunia, Rwampara dan Mongbwalu.
Kementerian kesihatan Congo pada Jumaat berkata, 80 orang maut dalam wabak baharu itu di wilayah timur negara tersebut.
WHO berkata, wabak ke-17 di negara itu, lokasi Ebola pertama kali dikenal pasti pada 1976 berkemungkinan jauh lebih besar susulan kadar positif tinggi daripada sampel awal dan peningkatan jumlah kes disyaki yang dilaporkan.
Menurut badan itu, wabak berkenaan dianggap luar biasa kerana tiada rawatan atau vaksin khusus yang diluluskan untuk virus Bundibugyo, berbeza dengan strain Ebola-Zaire.
Semua kecuali satu daripada wabak Ebola terdahulu di Congo berpunca daripada strain Zaire.
Menurut WHO wabak Congo-Uganda itu menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara lain dengan beberapa kes penularan antarabangsa sudah direkodkan.
Agensi itu menasihatkan negara terlibat supaya mengaktifkan mekanisme pengurusan bencana dan kecemasan nasional serta menjalankan saringan rentas sempadan dan pemeriksaan di laluan utama dalam negara.
Di ibu negara Uganda, Kampala, dua kes disahkan makmal yang dipercayai tidak berkaitan antara satu sama lain, termasuk satu kematian, dilaporkan pada Jumaat dan Sabtu melibatkan individu yang melakukan perjalanan dari Congo, menurut WHO.
Satu lagi kes disahkan makmal turut dilaporkan di ibu negara Congo, Kinshasa, membabitkan individu yang pulang dari Ituri.
WHO berkata, kontak rapat atau pesakit virus Bundibugyo tidak sepatutnya melakukan perjalanan antarabangsa kecuali bagi tujuan pemindahan perubatan.
Agensi itu turut mengesyorkan supaya kes disahkan diasingkan segera dan kontak dipantau setiap hari, selain mengehadkan perjalanan domestik dan melarang perjalanan antarabangsa sehingga 21 hari selepas pendedahan kepada virus.
Pada masa sama, WHO menggesa negara supaya tidak menutup sempadan atau menyekat perjalanan serta perdagangan kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan pergerakan tidak rasmi merentasi sempadan tanpa pemantauan.
Hutan tropika tebal di Congo merupakan habitat semula jadi virus Ebola.
Virus yang sering membawa maut itu menyebabkan demam, sakit badan, muntah dan cirit-birit serta merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan individu dijangkiti, bahan tercemar atau mayat mangsa penyakit itu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kesatuan Afrika.









