JAKARTA: Kerajaan Indonesia berhutang sebanyak 140 bilion rupiah (RM40 juta) dengan 31 hotel di bandar itu semasa tempoh pengasingan pesakit Covid-19.
Lapor Kompas.com, hutang itu tertunggak sejak Januari lalu seperti didedahkan oleh Pemangku Timbalan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Dody Ruswandi.
“Jumlah bil keseluruhan adalah sebanyak 200 bilion (RM57 juta). Namun, Hanya 60 bilion rupiah (RM17 juta) sahaja sudah dibayar,” katanya.
Menurut Dody, keadaan itu menyebabkan BNPB terpaksa menghentikan sementara pembiayaan hotel bagi tujuan kuarantin pesakit Covid-19 di Jakarta bermula 15 Jun depan.
Pihaknya meminta pemerintah wilayah memaksimumkan kemudahan fasiliti yang dimiliki bagi menggantikan tempat kuarantin di hotel.
“DKI misalnya mempunyai fasiliti di wisma-wisma. Dalam waktu terdekat, akan ada proses pemindahan pesakit,” jelasnya.
Ketika ini, BNPB mengambil langkah memaksimumkan fasiliti Hospital Darurat Covid-19 Wisma Atlet untuk dijadikan sebagai tempat kuarantin pesakit Covid-19 di Jakarta.
“Saya rasa sudah ada mekanisme iaitu Wisma Atlet dan kemudahan di wisma dijadikan tempat kuarantin seperti di daerah Bekasi dan Bogor,” ujarnya.










