Dunia ditawan varian Delta, sekatan Covid-19 dipertingkat - Utusan Malaysia

Dunia ditawan varian Delta, sekatan Covid-19 dipertingkat

ORANG RAMAI berpusu-pusu menaiki feri di Munashiganj sebelum Bangladesh melaksanakan perintah berkurung bagi menangani penularan wabak Covid-19. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pihak berkuasa di kebanyakan negara ketika ini berlumba-lumba untuk menangani penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan dikenal pasti menyebabkan lonjakan kes baharu Covid-19 di serata dunia.

Meskipun kempen vaksinasi berjaya menurunkan kes jangkitan Covid-19 di kebanyakan negara kaya namun penularan varian Delta menimbulkan kebimbangan akan kemunculan gelombang baharu yang lebih kritikal.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi sidang akhbar mengakui wujudnya kebimbangan besar di seluruh dunia mengenai varian Delta.

Di Bangladesh, pihak berkuasa mengumumkan perintah berkurung baharu di seluruh negara mulai Isnin (hari ini) selepas menyaksikan lonjakan kes berkaitan varian Delta.

Semua pejabat diarahkan ditutup selama seminggu dan hanya pengangkutan berkaitan perubatan dibenarkan di negara itu.

Di Australia pula, negeri paling padat dengan penduduk, New South Wales melaporkan sebanyak 30 kes Covid-19 baharu ketika Sydney memasuki minggu kedua perintah berkurung.

Kes varian Delta yang dilaporkan di negara itu kini sebanyak 110 kes. 

Kerajaan New Zealand mengumumkan penggantungan perjalanan tanpa kuarantin selama tiga hari dengan Australia berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Kerajaan Thailand mengumumkan sekatan baharu yang berpusat di sekitar ibu kota Bangkok untuk menangani penularan Covid-19 di negara itu. 

Sekatan yang akan dilaksanakan selama 30 hari bermula hari ini merangkumi larangan makan di dalam restoran, pusat membeli-belah ditutup pada pukul 9 malam dan pesta atau perayaan atau aktiviti melibatkan perhimpunan lebih 20 orang tidak dibenarkan.

Di Indonesia, Presiden Joko Widodo menyifatkan negaranya berdepan dengan ‘situasi luar jangka’ dan berjanji untuk bertindak pantas selaras dengan dasar bersesuaian.

Sistem kesihatan Indonesia dikatakan bakal lumpuh berikutan penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan apabila jumlah kes keseluruhan mencatatkan 2.07 juta kes serta kapasiti hospital mencecah 75 peratus di Jakarta dan bandar lain.   

Israel juga menyaksikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 berkaitan varian Delta sejak melonggarkan sekatan dengan menamatkan peraturan wajib memakai pelitup muka di tempat awam.

Varian Delta yang pertama kali dikesan di India pada April lalu disifatkan sebagai varian yang lebih mudah berjangkit dengan beberapa pakar berpandangan lebih 80 peratus penduduk perlu divaksin untuk menangani penularannya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya