BACHOK: Kursus kulinari dan masakan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan kaum Adam sama sekali tidak melunturkan kelakian sehingga ada membina kerjaya sebagai cef.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institusi Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, Mohd. Soufi Mohd. Ibrahim berkata, ketika ini golongan lelaki lebih mendominasi kursus tersebut sama ada peringkat sijil mahupun diploma.
“Situasi ini boleh dilihat apabila kursus lima hari menerusi Program Star@Youth membabitkan pelajar sekolah dan belia 17 tahun ke atas telah menarik lebih ramai golongan lelaki untuk menyertainya berbanding wanita,” katanya dalam majlis penutup Program Star@Youth di IKTBN Bachok di sini, semalam.
Mohd. Soufi memberitahu, program tersebut diperkenalkan sejak tiga tahun lalu bagi menawarkan peluang kepada belia berisiko mendapatkan latihan secara amali membabitkan kemudahan dan kepakaran lima tenaga pengajar.
Katanya, selain bidang masakan, IKBTN Bachok turut menawarkan kursus automatif bagi semburan cat kenderaan dan penghasilan kabinet pada Julai dan Oktober ini.
“Ia adalah sebahagian usaha mempromosi bidang kursus peringkat sijil dan diploma kepada belia dan pelajar yang berminat menyertai secara penuh masa,” ujarnya.
Mohd. Soufi menambah, setakat ini seramai 372 pelajar mengikuti 12 kursus kemahiran yang ditawarkan. – UTUSAN










