Zionis serbu Al-Aqsa, tembak penduduk Palestin - Utusan Malaysia

Zionis serbu Al-Aqsa, tembak penduduk Palestin

PENDUDUK Palestin melarikan diri daripada gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Berbaki dua hari lagi, umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun kegembiraan itu direntap apabila rejim Zionis menyerbu Masjid al-Aqsa dan menyerang penunjuk perasaan Palestin.

Lebih 200 penduduk Palestin dilaporkan cedera dengan kira-kira 50 daripadanya terpaksa dikejarkan ke hospital selepas pasukan tentera Israel melepaskan gas pemedih mata, tembakan peluru getah, malah membaling bom ke arah mereka.

Bunyi letupan dan siren ambulans turut kedengaran di beberapa bahagian lain di Baitulmuqaddis.

Pertempuran itu berlaku menjelang perarakan untuk menyambut ulang tahun kejayaan Israel mengambil alih Baitulmuqaddis dalam Perang Enam Hari 1967. 

Jumaat lalu, lebih 200 orang cedera dalam pertempuran antara polis Israel dan penduduk Palestin apabila puluhan ribu jemaah berkumpul di Masjid Al-Aqsa menunaikan solat Jumaat terakhir di bulan Ramadan.

Menurut Palang Merah Palestin, pertempuran sekali lagi tercetus pada Sabtu lalu di sebahagian besar kawasan berhampiran Baitulmuqaddis Timur dan mengakibatkan lebih 100 cedera.

Situasi tegang yang berterusan menyaksikan empat anggota dari kumpulan Kuartet Asia Barat iaitu Amerika Syarikat (AS), Rusia, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melahirkan kebimbangan serius berhubung keganasan tercetus di Baitulmuqaddis.  

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menekankan Israel harus menghentikan keganasan dan menghormati hak kebebasan  berhimpun secara aman.

Penegasan itu disuarakan di tengah ketegangan yang semakin memuncak di sekitar pekarangan Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam. 

“Setiausaha Agung melahirkan kebimbangan mengenai keganasan berterusan di wilayah yang dijajah di Baitulmuqaddis Timur dan ancaman pengusiran beberapa keluarga Palestin dari rumah mereka. 

“Beliau menggesa Israel untuk menghentikan perobohan dan pengusiran,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

Menurut Dujarric, Guterres juga menggesa agar status quo tempat suci itu dikekalkan dan dihormati.

Sementara itu, Israel berikrar untuk memulihkan ketenteraman di Baitulmuqaddis selepas ratusan penduduk Palestin cedera dalam pertempuran itu.

Tindakan itu selepas perbicaraan mahkamah mengenai isu pertikaian hartanah yang penting ditangguhkan.  

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan Israel terhadap protes dan rusuhan di Baitulmuqaddis Timur.

“Kami akan menegakkan undang-undang dengan bersungguh-sungguh dan secara bertanggungjawab,” katanya dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Beliau juga berikrar untuk menjaga kebebasan beribadat untuk semua agama. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.