JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi peringatan kepada seluruh Ketua Daerah agar memiliki ketahanan dalam mengendalikan pandemik Covid-19.
Lapor Tribunnews, Jokowi malah menjelaskan wabak itu tidak boleh ditangani dalam tempoh satu atau dua bulan sahaja.
Beliau malah memberikan contoh mengenai Malaysia dan Singapura yang sudah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan virus itu.
“Kita harus memiliki ketahanan dan saya meminta kepada semua ketua daerah berwaspada dengan virus Covid-19 yang sudah merebak pantas.
“Malaysia sudah PKP sampai Jun. Singapura juga sudah melaksanakan perintah berkurung sejak Mei lalu dan semakin ketat pada setiap minggu. Kita harus melihat negara jiran tetangga kita,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, Jokowi berkata, beberapa daerah sudah mengalami peningkatan kes Covid-19 seperti Aceh, Sumatera Utara, Riau, Kalimantan dan Jakarta.
Indonesia menyaksikan pertambahan 4,185 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1.7 juta kes dengan angka kematian sudah mencecah 48,477 individu.










