TOKYO: Hanya 15 peratus petugas barisan hadapan, terutamanya yang menguruskan pesakit Covid-19 di Tokyo serta 20 wilayah lain di seluruh Jepun sudah menerima suntikan dua dos vaksin.
Kaji selidik yang dilakukan oleh akhbar Yomiuri Shimbun menunjukkan, hanya 5,943 atau 15 peratus daripada 38,339 petugas barisan hadapan di 20 wilayah tersebut sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19.
Petugas barisan hadapan di Jepun diberi keutamaan untuk menerima vaksin bermula awal Mac ini dan pengedaran vaksin sudah pun selesai pada 10 Mei lalu.
Kebanyakan wilayah baru melengkapkan dos pertama dan dijangka memberi suntikan dos kedua vaksin menjelang bulan depan.
Menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi, kira-kira 153,000 petugas barisan hadapan di seluruh negara layak menerima suntikan vaksin.
Namun, kementerian itu memaklumkan pihaknya tidak dapat mengenal pasti sejauh mana agihan vaksin untuk golongan itu dilakukan.










