BEIJING: Sebuah bangunan pencakar langit 70 tingkat di China terpaksa dikosongkan selepas bangunan itu mengalami gegaran.
Gegaran itu mencetuskan keadaan panik sehingga mengakibatkan orang ramai bertempiaran lari keluar daripada bangunan itu untuk mencari lokasi yang selamat.
Lapor BBC, kejadian itu berlaku di bandar Shenzen, selatan China.
Pihak berkuasa tempatan masih belum mengetahui punca yang menyebabkan bangunan SEG setinggi 300 meter bergegar pada petang semalam.
Dilaporkan, tiada gempa bumi berlaku di Shenzhen ketika kejadian.
Satu siasatan sedang dilaksanakan.
Bangunan berusia 20 tahun itu menempatkan pejabat dan pasaran peralatan elektronik.
Rakaman video dikongsi di laman media sosial menunjukkan ratusan penduduk bertempiaran keluar dalam ketakutan daripada bangunan pencakar langit itu selepas proses pengosongan serta-merta dilaksanakan.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata, beberapa jurutera memeriksa bangunan pencakar langit tersebut.
Menurut pihak berkuasa, setakat ini, tiada gegaran lanjut dikesan di bangunan tersebut.
“Pakar juga mendapati tiada isu keselamatan luar biasa di struktur bangunan utama dan persekitarannya,” katanya. – AGENSI/AFP










