JAKARTA: Seorang lelaki meletakkan nota peringatan mengenai isterinya yang sarat mengandung di motosikal supaya pemandu lain memahami situasinya.
Lapor Tribunnews, tujuan lelaki itu berbuat demikian supaya pemandu lain menjadi lebih bersabar dan berhati-hati kerana dia menunggang motosikal dengan perlahan.
“Sedang membawa isteri mengandung, harap memahami, terima kasih,” tulis nota itu.
Kisah itu dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya, Ungky Chikita, 23, yang memuat naik video itu di dalam TikTok.
Ungky pada mulanya menyangka nota itu adalah sekadar gurauan sebelum menghampiri motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri itu lebih dekat.
Dia malah menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang sangat memahami dan sentiasa memberikan perhatian terhadap isterinya.
Selepas kejadian itu, dia mengambil beberapa pengajaran dan menasihatkan golongan wanita perlu berhati-hati memilih pasangan hidup supaya mereka dapat menjaga antara satu sama lain.










