MIAMI: Kerja-kerja mengepam keluar berjuta-juta gelen air daripada sebuah loji simpanan fosfat ke Teluk Tampa di Florida giat dilakukan bagi mengelak pencemaran kepada penduduk setempat.
Lapor The Guardian, tindakan itu dilakukan selepas loji tersebut mengalami kebocoran dan dikhuatiri mengalir ke kawasan penempatan penduduk.
Insiden itu juga menyaksikan pihak berkuasa di Manatee County melanjutkan zon pemindahan dan memberi amaran lebih 340 juta gelen air boleh membanjiri kawasan itu sekiranya kerosakan di loji Piney Point di kawasan Teluk Tampa gagal dibaiki segera.
Beberapa gambar dari udara yang disiarkan oleh syarikat penyiaran tempatan menunjukkan air mengalir keluar dari tembok penahan yang bocor.
Gabenor Florida, Ron DeSantis mengisytiharkan darurat selepas pihak berkuasa memberi amaran mengenai kemungkinan loji simpanan tersebut pecah.
DeSaintis dalam satu sidang akhbar berkata, jurutera masih berusaha menutup ruang yang bocor dengan batu dan bahan lain.
Katanya, usaha mitigasi lain turut dilaksanakan termasuk mengawal pelepasan 35 juta gelen air setiap hari di Port Manatee.
Malah, jelas beliau, jabatan perlindungan alam sekitar (DEP) negeri juga membantu dengan menyalurkan 20 pam baharu.
“Bagi kami, masalah kualiti air yang mengalir dari ini adalah lebih rendah berbanding risiko kesihatan dan keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut,” ujarnya.










