JAKARTA: Anggota penyelamat berusaha mencari puluhan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Indonesia dan Timor Leste yang mengorbankan sekurang-kurangnya 120 orang.
Hujan lebat akibat Taufan Seroja menjejaskan tempat tinggal penduduk sehingga kawasan tersebut dipenuhi tanah lumpur dan menyebabkan pokok tumbang selain memaksa hampir 10,000 penduduk melarikan diri mencari tempat perlindungan di negara jiran yang berdekatan.
Menurut agensi pengurusan bencana Indonesia, sebanyak 86 kematian dilaporkan di beberapa pulau terpencil berhampiran Timor Leste yang mana 34 orang lagi disahkan meninggal dunia sejak bencana itu melanda pada Ahad lalu.
Pihak berkuasa menyemak semula angka kematian tinggi bagi Indonesia, dengan mendakwa berlaku salah faham dengan agensi tempatan.
Namun, pasukan mencari dan menyelamat berusaha mencari lebih 100 orang yang masih hilang dan menggunakan penggali untuk membersihkan kawasan runtuhan.
Dilaporkan, Taufan Seroja memusnahkan bangunan di beberapa perkampungan di lereng gunung dan tepi laut di Pulau Lembata. – AFP










