JAKARTA: Akibat perasaan tidak puas hati yang dipendam selama lebih 20 tahun, seorang wanita nekad merobohkan rumah bekas suaminya yang dihuni bersama isteri baharu.
Lapor Tribunnews, kejadian itu berlaku di Perkampungan Trowulan, daerah Mojokerto di Jawa Timur.
Wanita tersebut yang dikenali sebagai Ainun Jariyah, 44, memberitahu, dia dan bekas suaminya sudah bercerai lebih 20 tahun lalu, namun sehingga kini urusan pembahagian harta sepencarian antara mereka masih belum selesai.
Sehubungan itu, Ainun mengupah 10 orang untuk merobohkan rumah bekas suaminya.
Jelas ketua kampung tersebut, Zainul Anwar memberitahu, bekas suami wanita itu, Kasnan, 50, menyatakan dia tidak mampu memenuhi tuntutan harta sepencarian bekas isterinya sebanyak 30 juta rupiah (RM8,571).
“Ainun meminta haknya diberikan separuh berdasarkan harga rumah yang diduduki Kasnan ketika ini iaitu dianggarkan bernilai 60 juta rupiah (RM17,131).
“Namun, Kasnan enggan melayani permintaan bekas isterinya menyebabkan wanita itu mengupah orang untuk merobohkan rumah tersebut,” katanya.
Ainun juga dilaporkan sudah berunding dengan Kasnan untuk mengurangkan tuntutan sehingga 10 juta rupiah (RM2,853), namun lelaki itu tetap berdegil.










