JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi mendakwa Indonesia menjadi negara bukan pengeluar vaksin Covid-19 keempat yang paling banyak melakukan vaksinasi di dunia.
Lapor CNN Indonesia, Budi mengumumkan perkara itu menerusi laman web rasmi kementerian kesihatan.
Katanya, seramai 7.3 juta penduduk Indonesia sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 3.3 juta orang menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.
“Kementerian Kesihatan menjalin kerjasama dengan pelbagai syarikat pengeluar vaksin untuk memastikan kira-kira 426 juta dos dapat dibekalkan dan akan digunakan untuk memvaksin 181.5 juta penduduk di negara ini.
“Sehingga kini, kita melakukan 500,000 suntikan vaksin sehari dan sudah mencecah 10 juta suntikan pada Jumaat lalu,” katanya.
Namun, Budi tidak menafikan bekalan dos vaksin masih terhad dengan kebanyakan negara saling ‘berebut’ untuk mendapatkan bekalan masing-masing.
Jelas beliau, Indonesia ketika ini sudah menjalin kerjasama dengan Sinovac, AstraZeneca, Novavax dan Pfizer.










