Terdesak beli vaksin sendiri - Utusan Malaysia

Terdesak beli vaksin sendiri

Thailand tidak benar rakyat Malaysia melancong ke Phuket, Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pengerusi Rangkaian Kumpulan Kesihatan Thonburi, Boon Vanasin semakin sibuk dengan rundingan berhubung pengedaran vaksin Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.

Kumpulan itu yang menguruskan lapan hospital di Thailand menjangkakan untuk menempah lebih banyak dos vaksin dalam tempoh secepat mungkin.

Thonburi turut merancang untuk menjual vaksin kepada pelanggan persendirian pada harga 2,000 baht (RM269) bagi setiap satu dos vaksin.

Pelan tersebut dilihat mendapat reaksi menggalakkan apabila Boon sudah pun menerima tempahan awal daripada agensi pelancongan dan sektor pengeluaran.

Kerajaan Thailand memulakan program vaksinasi pada bulan lalu menggunakan vaksin keluaran Sinovac dan AstraZeneca dengan sasaran untuk memvaksin kira-kira 33 juta penduduk pada tahun ini.

Sehingga 9 Mac lalu, 33,000 penduduk dari 13 wilayah negara ini sudah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 yang disediakan secara percuma.

Namun, bagi kebanyakan syarikat, terutamanya dalam sektor pelancongan yang merupakan tulang belakang ekonomi Thailand, usaha itu belum memadai.

“Sasaran untuk memvaksin setengah daripada jumlah keseluruhan penduduk pada tahun ini tidak cukup. Dianggarkan 70 hingga 80 peratus populasi perlu divaksin untuk mewujudkan imuniti berkelompok, selain meyakinkan pengunjung masuk ke Thailand,” katanya kepada South China Morning Post.

 

Sanggup bayar sendiri

Wichit Prakobkosol, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Thailand berkata, banyak perniagaan pelancongan sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk membayar suntikan vaksin Covid-19 kerana lebih cepat berbanding menunggu ‘dos percuma yang dibekalkan kerajaan’.

Industri pelancongan menyumbang sebanyak 11 peratus kepada ekonomi Thailand. Jumlah pengunjung yang memasuki negara ini pada tahun lalu menurun 83 peratus dengan 6.7 juta ketibaan pelancong asing berbanding 39.9 juta pada 2019.

“Pelancongan Thailand perlu dihidupkan semula pada Julai ini, iaitu tempoh paling cepat. Kerajaan perlu mengumumkan polisi pemulihan pelancongan pada April ini bagi membolehkan hotel dan syarikat penerbangan membuat persediaan,” ujarnya.

 

Boleh import dan jual vaksin

Rancangan Boon untuk jual vaksin kepada pelanggan persendiriannya bermula selepas Menteri Kesihatan Thailand, Anutin Charnvirakul menyatakan hospital swasta boleh mengimport vaksin Covid-19 dan menjualnya kepada penduduk serta golongan ekspatriat.

Keputusan itu menjadikan Thailand sebagai negara terbaharu di Asia Tenggara yang membenarkan sektor swasta membeli vaksin Covid-19 yang kebanyakannya diberi percuma untuk rakyat negara masing-masing.

Di negara Asean yang program vaksinasi berjalan perlahan, firma swasta mengambil langkah sendiri. Contohnya di Filipina, beberapa syarikat boleh membeli vaksin untuk pekerja, termasuk Indonesia.

 

Terima kritikan

Aktivis hak asasi manusia, Matcha Phorn menyatakan adalah tidak adil untuk mengutamakan vaksinasi dalam industri pelancongan.

“Ketika keutamaan vaksinasi diberikan kepada golongan yang memerlukan, peluang komuniti seperti pendatang dan buruh asing akan semakin kecil. Ini adalah tidak adil kerana program itu perlu melibatkan semua pihak untuk wujudkan kekebalan berkelompok,” jelasnya.

Matcha juga menyelar cadangan untuk Phuket memvaksin majoriti penduduk dewasanya iaitu 300,000 orang sebelum 1 Oktober bagi membolehkan pelancong masuk tanpa kuarantin.

 

Tanggapan salah

Pengarah Pusat Kajian Vaksin dan Pembangunan di Universiti Chulalongkorn, Kiat Ruxrungtham berkata, apabila hospital swasta melancarkan kempen pengedaran vaksin, harganya akan meningkat berkali ganda.

“Kerajaan bertanggungjawab menentukan golongan mana yang perlu menerima suntikan vaksin dahulu dan mereka perlu berunding sebaiknya dengan hospital swasta bagi mengelak masalah pengedaran.

“Jika hospital swasta menetapkan harga tinggi untuk sesetengah vaksin, keadaan itu akan menimbulkan tanggapan bahawa ubatan yang mereka jual adalah lebih baik berbanding yang disediakan kerajaan secara percuma,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×