NEW YORK: Ahli-ahli Parlimen New York meluluskan rang undang-undang yang membenarkan penjualan ganja bagi tujuan rekreasi.
Gabenor New York, Andrew Cuomo berkata, beliau juga akan menandatangani rang undang-undang itu untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang.
New York bakal menyertai 14 negeri Amerika Syarikat (AS) lain dan Daerah Columbia dalam membenarkan penggunaan ganja selepas rang undang-undang tersebut disokong oleh kedua-dua dewan negeri.
“Untuk tempoh yang agak lama, larangan ganja disasarkan secara tidak seimbang terhadap komuniti berdasarkan warna kulit dengan hukuman penjara yang ketat.
“Oleh itu, undang-undang penting ini memberikan keadilan kepada masyarakat terpinggir selain dijangka dapat meningkatkan ekonomi dan mewujudkan perlindungan keselamatan untuk orang ramai,” kata Cuomo dalam satu kenyataan.
Menurut pejabat Cuomo, perubahan itu mampu menjana pendapatan cukai tahunan tambahan sebanyak AS$350 juta (RM1.45 bilion) dan mewujudkan puluhan ribu pekerjaan.
Undang-undang itu bakal membenarkan individu berusia 21 tahun dan ke atas membeli ganja dan menanam tanaman tersebut bagi tujuan penggunaan peribadi di rumah.
Terdapat rancangan untuk menyalurkan sejumlah dana bagi rawatan pemulihan dadah dan pendidikan. – AFP










