Minneapolis setuju bayar RM111 juta kepada keluarga Floyd - Utusan Malaysia

Minneapolis setuju bayar RM111 juta kepada keluarga Floyd

GEORGE FLOYD meninggal dunia selepas anggota polis, Derek Chauvin berlutut atas lehernya selama hampir sembilan minit. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINNEAPOLIS: Bandar Raya Minneapolis bersetuju untuk membayar sebanyak AS$ 27 juta (RM111 juta) kepada keluarga George Floyd sebagai penyelesaian kes kematian lelaki berkulit hitam itu ketika dalam tahanan polis.

Floyd, 46, meninggal dunia selepas seorang anggota polis, Derek Chauvin berlutut atas lehernya selama hampir sembilan minit.

Video kejadian itu yang dirakam oleh orang awam menjadi tular sekali gus mencetuskan kemarahan hingga berlaku demonstrasi besaran yang bertukar ganas di Amerika Syarikat (AS).

Lapor BBC, peguam kepada keluarga Floyd memberitahu bahawa rakaman video itu telah mencetuskan desakan orang ramai bagi keadilan dan perubahan yang tidak boleh dinafikan. 

Penyelesaian itu diumumkan ketika perbicaraan terhadap bekas pegawai polis itu sedang berjalan. 

Majlis Bandar Raya Minneapolis mengundi sebulat suara untuk menyetujui penyelesaian praperbicaraan itu yang disifatkan sebagai jumlah terbesar yang pernah diberikan oleh negeri tersebut. 

“Ia merupakan penyelesaian praperbicaraan terbesar dalam tuntutan hak sivil membabitkan kematian salah di AS. 

“Kes itu juga memberi mesej besar bahawa kehidupan warga berkulit hitam di negara ini diambil kira dan kekejaman polis terhadap orang awam harus berakhir,” kata peguam kepada keluarga Floyd, Ben Crump.

Keluarga Floyd memfailkan tuntutan hak sivil pada Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Crump berkata, penyelesaian itu hanyalah `satu langkah’ dalam perjalanan menuju ke arah keadilan.  

“Kematian Floyd merupakan pemangkin kepada balasan atas tindakan mereka yang berat sebelah dan berunsur perkauman”, katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN