SURAT THANI: Sepasang suami isteri yang meloloskan diri daripada tahanan polis di wilayah ini berjaya diberkas semula di Nong Khai hari ini.
Lapor Bangkok Post, pasangan itu ditahan selepas melarikan diri sejauh 1,270 kilometer menggunakan tiga buah motosikal curi.
Jurucakap polis, Thepsingha Thepluen berkata, Patikarn Thongnongsuan dan isterinya, Kannikar Riewthongchum ditahan di sebuah resort di daerah Phon Phisai dan mereka dipercayai merancang untuk merentasi sempadan ke Laos.
Katanya, pasangan itu menjadi buruan polis selepas meloloskan diri dari lokap balai polis Tha Chang pada 24 Februari lalu.
“Suami isteri itu ditahan kerana mencuri motosikal dan kepingan getah antara 19 hingga 22 Februari lalu.
“Pada 24 Februari, mereka berjaya membuka kunci lokap dan melarikan diri dengan mencuri motosikal milik anggota polis di balai tersebut,” ujarnya.










