GENEVA: Pasukan pakar antarabangsa yang ke Wuhan pada Januari lalu membuat kesimpulan bahawa Covid-19 berkemungkinan menular ke manusia daripada kelawar menerusi haiwan perantara.
Pakar penyelidik antarabangsa yang menyiasat asal usul pandemik Covid-19 di China itu juga menolak teori virus tersebut ‘dilahirkan’ dari makmal virologi.
Bagaimanapun, laporan yang didraf oleh pasukan pakar penyelidik yang dilantik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bersama rakan sejawat dari China, tidak menjelaskan secara terperinci bagaimana koronavirus itu merebak ke manusia.
AFP memperoleh salinan laporan akhir menjelang ia dibentangkan secara rasmi hari ini.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kumpulan pakar antarabangsa akan mengadakan sidang akhbar untuk membincangkan mengenai penemuan mereka.
Beliau juga memaklumkan bahawa semua hipotesis berkaitan asal usul wabak itu masih diteliti dan memerlukan kajian lebih lanjut.
Wabak Covid-19 sudah membunuh lebih 2.7 juta penduduk di seluruh dunia dalam tempoh 15 bulan sejak ia bermula, sehingga memaksa seluruh negara mengenakan sekatan yang menjejaskan ekonomi di peringkat global.
Sebelum ini, pakar antarabangsa yang menyiasat asal usul Covid-19 berdepan masalah termasuk kelambatan menerbitkan laporan dan pelbagai halangan diplomatik di lokasi tercetusnya virus itu.
Mereka akhirnya tiba pada 14 Januari lalu, lebih setahun selepas kes pertama Covid-19 dikesan.
Pasukan pakar percaya virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan wabak Covid-19 itu berasal daripada kelawar.
Penulis laporan menilai senario yang paling mungkin berlaku adalah ia merebak secara langsung kepada manusia.
Beijing menerusi satu teori sebelum ini yang berpendapat bahawa virus itu tidak sama sekali berasal dari China namun diimport menerusi makanan sejuk beku disifatkan sebagai `ada kemungkinan’ tetapi adalah mustahil.
Dakwaan dilemparkan oleh pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump kononnya virus itu tercetus dari sebuah makmal, dianggap sebagai `sangat tidak mungkin berlaku’. – AFP









