Konflik Syria: Kisah setia si isteri - Utusan Malaysia

Konflik Syria: Kisah setia si isteri

Pengerusi Syria Care, Sakinah Meor Omar Bakri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Aminah al Hussein yang mengajar al Quran kepada orang ramai dan masyarakat sekitar dalam kunjungan di Gazientep, Turki baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZIENTEP (Turki): Tiada angka rasmi berapa ramai yang menjadi balu akibat konflik di Syria kerana kesukaran untuk mengumpul data. Apatah lagi dengan nasib berpuluh ribu suami yang hilang tanpa dapat dikesan keberadaan mereka, sama ada hidup atau telah menjadi arwah.

Menurut Syrian Observotary Human Rights (SOHR) lebih 585,000 rakyat Syria telah terbunuh sejak konflik tercetus dari Mac 2011 hingga Mac 2020. Angka tidak tepat kerana ada yang mendakwa ia lebih tinggi dan tidak kurang pula yang meletakkan angka yang lebih rendah.

Apa yang ingin dikongsi, adalah nasib hidup insan hebat yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga, bapa dan pada yang sama menjadi ibu kepada anak-anak yang kematian atau kehilangan ayah. Ditambah dengan kehidupan sebagai pelarian di negara orang, ia memerlukan kekuatan yang begitu luar biasa.

Syaza Durbala, 30-an, begitu tenang ketika bercerita mengenai nasib yang menimpa dirinya enam tahun lalu.

Suaminya, Ahmad al Ali, hilang ketika pergi melihat rumah yang dibinanya di Aleppo empat tahun lalu. Seandainya masih hidup dia kini berusia 44 tahun.

Selepas dua tahun menunggu, ditambah dengan keadaan konflik yang memuncak ketika itu, dia membuat keputusan untuk berpindah dari Azzah menyeberang sempadan ke Kilis, Turki bersama dengan anak-anak.

Meskipun tidak lagi berada dalam Syria, dia masih berharap satu ketika nanti suaminya akan pulang dan anak-anaknya akan dapat mendakap semula ayah mereka dengan sepuas-puasnya.

Ketika ini, Syaza mendapat bantuan dari Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebanyak 400 lira sebulan. Bagi menampung wang belanja, dia banyak bergantung dengan anak sulung, Mustafa, 11, yang terpaksa keluar bekerja selepas waktu sekolah dan ketika cuti.

Selain Mustafa, dua lagi anaknya Hayah, 10, dan Ilaf 6 tahun. Dalam celotehnya, dengan ditemani ibu di sisi, Hayah menyuarakan hasrat untuk menjadi doktor gigi. Perjalanannya masih jauh namun, ia tidak mustahil jika kita terus istiqamah membantu Syaza sekeluarga.

Cerita Aminah al Hussein juga hampir sama dengannya cuma yang membezakan, suaminya, Abdul Hamid Ahmad meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya bukan kerana konflik.

Dalam usia yang masih muda, lulusan Syariah dari Maahad Al Fateh ini terpaksa menggalas tanggungjawab besar membesarkan empat anak-anak, yang semuanya perempuan.Maryam 12, Hawa, 10, Fatimah Zahra, 6, dan Kauthar, 4.

Meskipun merentas sempadan dengan keadaan hidup yang begitu mencabar di tempat orang, nilai yang sama masih bersama­nya dan kini diterapkan kepada semua anak-anaknya.

“Kenangan paling indah ketika saya belum kahwin berada di rumah keluarga. Adik beradik saya ramai, 12 orang dan saya anak kesepuluh,” ceritanya.

Namun rumah keluarganya di Hayyah Zahirah, Damsyik tidak terkecuali dari menjadi sasaran sehingga memaksa mereka berpindah ke kem Yarmouk.Di situpun, mereka tetap menerima nasib sama sehingga terpaksa menyelamatkan nyawa ke Deir az Zour kemudian ke Aleppo dan akhirnya di Idlib.

Bagi Huda al Lababidi, 66, penantian kepulangan suami tidak sedikitpun pudar dan kisah yang menimpa dirinya berlaku jauh lebih lama, iaitu sebelum konflik Syria pada 2011. Dalam usia sekitar 28 tahun, suaminya Sheikh Abdul Ghani al Lababidi telah ditangkap dan kemudian ditahan bapa Bashar, iaitu Hafiz al Assad menggempur bandar Hama pada Februari 1982 kerana dituduh bersekongkol dengan kebangkitan rakyat yang menentang pentadbirannya.

Masa berlalu dan sehingga ke saat ini, dia masih menunggu dan sentiasa bersedia untuk menyambut kepulangan suaminya.

“Ibu saya terus menunggu dan masih menyimpan baju ayah yang dibawa ke mana sahaja dia pergi. Ibu kata, dia akan memakaikan baju ini kepada ayah bila bertemu nanti,” kata Shaikh Ahmad Wail al Hambali kepada kami mengenai nasib yang menimpa ibunya.

Ketika ini, Huda yang terpaksa keluar dari Syria menghabiskan usia tuanya di Madinah, namun baju yang dibawa tidak pernah lekang. Dia terus meletakkan harapan bahawa suaminya masih hidup dan dapat bersatu semula sebagai pasangan sehidup semati.

Inilah secebis kisah kecekalan kaum Hawa di tanah Syam yang tidak mudah mengalah apatah lagi pasrah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya