LONDON: Wanita pertama Syria yang merupakan warganegara British boleh didakwa dan dilucutkan kerakyatan United Kingdom (UK) selepas siasatan awal mendapati dia menghasut serta menggalakkan tindakan keganasan semasa perang saudara di Syria.
Lapor Arab News, Asma Al-Assad, 45, berpindah ke Syria selepas berkahwin dengan Bashar Al-Assad pada 2000 serta pernah memberikan ucapan yang cenderung menyokong tentera Syria.
Tentera Syria pernah bertindak zalim menyerang kawasan penduduk termasuk hospital dan sekolah dengan bom, senjata kimia serta serangan udara sejak 10 tahun lalu dan Kerajaan Syria dicop sebagai negara pendukung pengganas oleh Amerika Syarikat.
Polis Metropolitan membuka siasatan awal selepas dewan undang-undang antarabangsa di London menghantar bukti mengenai pengaruh wanita itu terhadap pemerintahan Syria serta kelantangan memberi sokongan kepada tentera Syria.
Sekiranya didakwa, dia bakal mengikut jejak langkah individu berpengaruh lain dalam rejim autokratik yang berdepan sistem keadilan di UK.
Ketua Dewan Undang-Undang Guernica 37, Toby Cadman berkata, pihaknya menyakini kes pendakwaan terhadap Asma sangat kukuh.
“Pasukan undang-undang kami di Guernica 37 sudah menyiasat kes ini dengan bertungkus lumus selama beberapa bulan dan sudah memfailkan dua komunikasi sulit dengan pasukan anti pengganas Polis Metropolitan.
“Ini sangat penting semasa kita sudah menghampiri ulang tahun kesepuluh konflik di Syria, pada masa sama perlu ada usaha berkesan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Bagaiamanapun, setakat ini belum jelas sama ada pihak pendakwa akan meneruskan perbicaraan dalam keadaan suspek tidak hadir ke mahkamah, malah, tidak mungkin dia akan mematuhi saman mahkamah di UK.
Notis merah polis antarabangsa sudah dikeluarkan yang bermakna Asma tidak boleh melakukan perjalanan keluar dari Syria selagi belum diberkas pihak berkuasa.