Hotel pamerkan kehidupan beruang kutub dikecam aktivis - Utusan Malaysia

Hotel pamerkan kehidupan beruang kutub dikecam aktivis

PENGUNJUNG sedang menyaksikan beruang kutub menerusi dinding kaca di hotel yang terletak di Harbin, China. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Sebuah hotel di China yang dibina dengan mempamerkan kehidupan beruang kutub melalui dinding kaca demi menarik pengunjung, dikecam oleh para aktivis.

Lapor The Guardian, hotel yang dibina di Harbin Polar Land di timur laut China membolehkan pengunjung menyaksikan kehidupan beruang kutub menerusi dinding kaca yang terdapat di dalam bilik hotel tersebut.  

Malah, pengunjung yang menginap di hotel itu juga dapat merasai pengalaman unik apabila dapat `berjiran dengan haiwan tersebut sepanjang hari’.

Satu rakaman video menunjukkan para pengunjung berpusu-pusu mengambil gambar spesies haiwan terancam itu yang ditempatkan di dalam sebuah ruang mengandungi batu dan ais palsu serta lantainya dicat putih. 

Beberapa pertubuhan hak asasi haiwan menzahirkan rasa tidak puas hati dan menggesa orang ramai untuk tidak menginap di hotel berkenaan.

“Beruang kutub sepatutnya berada di Artik dan bukannya di zoo atau bilik gelas kaca mahupun di dalam hotel,” kata Naib Presiden Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) Asia, Jason Baker.

Jelas Baker, realitinya beruang kutub biasanya berkeliaran di kawasan luas yang menjangkau ribuan batu dan bukannya dikurung di dalam ruang demikian yang mengeksploitasi haiwan tersebut.    

Rata-rata pengguna media sosial di China juga melahirkan rasa tidak puas hati mengenai tindakan pihak pengurusan hotel.

“Ia adalah penjara buat beruang kutub berkenaan. Apakah kita tidak belajar mengenai kekejaman terhadap haiwan,” kata seorang pengguna media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×