PARIS: Sepasukan polis yang menyerbu sebuah bengkel di Saint-Ouen berhampiran sini mendakwa menemukan dadah bernilai 900,000 pound (RM5.12 juta).
Lapor Mirror, pihak berkuasa membuat pengumuman menerusi Twitter mengenai kejayaan penemuan itu dengan menyiarkan gambar dipercayai dadah dalam bentuk serbuk dan pil serta merampas telefon bimbit yang dicuri.
Namun, lapor Le Parisien, penganalisis toksikologi mendapati rampasan serbuk di sebuah apartmen itu adalah serbuk asli yang bukannya bahan narkotik atau kandungan beracun.
Rupa-rupanya bahan yang ditemukan itu adalah gula-gula berwarna merah jambu dalam bentuk serbuk.
Gula-gula itu dipercayai jenama Tagada berperisa strawberi oleh syarikat Haribo yang merupakan antara jenama popular di Perancis.
Bagaimanapun, suspek tetap berdepan pertuduhan berhubung telefon yang dicuri, namun tidak pasti apakah tindakan yang akan diambil berhubung penemuan yang dipercayai kononnya ‘dadah’ itu.










